Topeng Muhyiddin sudah tertanggal - Nur Jazlan - Utusan Malaysia

Topeng Muhyiddin sudah tertanggal – Nur Jazlan

NUR JAZLAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU:  Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mempersoalkan kredibiliti Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikaitkan dengan penerimaan dana politik berjumlah RM1.3 juta.

Menurutnya, keterangan bersumpah yang didedahkan dalam mahkamah itu sekali gus  melondehkan topeng dan watak bersih yang dimainkan bekas Perdana Menteri berkenaan selama ini.

“Kalau Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) dituduh dan didakwa menerima rasuah daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) dan terus menerus dicerca, dihina serta dilabel sebagai pendosa atau kluster mahkamah, apa pula bezanya dengan lima orang lagi malaun yang nama mereka turut disebut dalam senarai menerima imbuhan itu.

“Ahli Parlimen Pagoh berkenaan didakwa menerima sejumlah wang berjumlah RM1.3 juta, bukan sedikit jumlahnya. Adakah Muhyiddin dan lima yang lainnya tergolong dalam golongan maksum,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Nur Jazlan berkata, jika difikirkan secara logik tindakan kesemua mereka adalah sama, iaitu menerima imbuhan daripada UKSB. 

“Kalau nak kata itu perbuatan rasuah, maka biarlah semuanya dilabel terbabit rasuah dan sama-sama kena dakwa. Tetapi, kalau nak cakap tindakan ambil imbuhan itu atas nama dana politik, maka sepatutnya semua dilepaskan daripada tuduhan.

“Mengapa Zahid seorang saja yang terpaksa terima pendakwaan terpilih?. Adakah kerana Zahid adalah seteru dan enam bersaudara itu pula adalah sekutu? Maka Zahid diganyang, diperangkap dan dianiaya secukupnya.

“Selepas pendedahan di mahkamah itu, sepatutnya kerajaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pejabat Peguam Negara kena percepatkan buka kertas siasatan dan mendakwa kesemuanya di mahkamah kerana salah laku rasuah atau sekurang-kurangnya memanggil mereka memberi keterangan supaya kebenaran dapat didedahkan secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berasa simpati dengan tanggungjawab yang terpaksa dipikul Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menerajui kerajaan hari ini.

“Ini kerana, kerajaan sekarang ini adalah kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Naib Presiden UMNO tetapi UMNO pula digasak habis-habisan oleh ‘rakan-rakan’ politik Ismail Sabri sendiri. Pastinya dia sendiri terpalit kerana parti dia diperlakukan sedemikian rupa.

“Saya yakin Perdana Menteri daripada UMNO ini pastinya tidak akan membiarkan kes siasatan ke atas Muhyiddin akhirnya ghaib begitu sahaja seperti mana yang pernah berlaku ketika era kerajaan Pakatan Harapan. Sudah semestinya beliau mahu menjaga nama baik beliau dan UMNO dan tidak mahu menjadi alat kepada puak-puak lain dalam kerajaan PN.

“Ini kerana Perdana Menteri kita sudah banyak terpaksa menanggung onar yang dibuat oleh rakan politik dalam kerajaan campuran itu yang suka mengamalkan budaya ugut demi memanjangkan riwayat kerajaan atas kayangan ini,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya