Syed Saddiq persoal subsidi RM155 juta - Utusan Malaysia

Syed Saddiq persoal subsidi RM155 juta

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mempersoalkan peruntukan kerajaan sebanyak RM155 juta untuk membiayai subsidi tambang percuma membabitkan perkhidmatan pengangkutan RapidKL dan Komuter Lembah Klang selama sebulan. 

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ini kerana jumlah subsidi setinggi itu tidak berupaya menyelesaikan masalah yang dihadapi penumpang pengangkutan awam yang semakin parah. 

Malah, katanya, ia tidak pun menjawab banyak aduan rakyat yang bergantung kepada pengangkutan awam. 

“Kerajaan harus menjawab persoalan yang masih lag berbangkit walaupun subsidi RM155 juta ini diluluskan kerajaan. Pertama, adakah subsidi RM155 juta untuk tambang percuma ini dapat mengurangkan masalah kesesakan penumpang disebabkan kekerapan frekuensi jadual yang lama dan jumlah koc kereta api yang rendah?. 

“Kedua, adakah subsidi RM155 juta ini dapat meningkatkan kualiti kemudahan awam di stesen-stesen kereta api yang bermasalah, tidak mesra orang kurang upaya (OKU) dan rosak?. 

“Walaupun saya menyambut baik usaha untuk memberikan pengangkutan awam secara percuma, kerajaan harus realisitik dan berdepan dengan masalah sedia ada yang sangat membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, keputusan pemberian subsidi itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Majlis Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kampung Batu, hari ini. 

Perdana Menteri berkata, kerajaan memberikan subsidi RM140 juta bagi membolehkan penumpang dapat tambah percuma membabitkan semua pengangkutan awam RapidKL iaitu MRT, LRT, BRT, Monorel serta bas RapidKL. 

Selain itu, kata beliau, pengangkutan Keretapi Tanah Melayu (KTM) iaitu Komuter Lembah Klang juga tambang percuma sebulan dengan subsidi RM15 juta.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, kerajaan sepatutnya mempertimbangkan tiga cadangan yang lebih baik selain memberi subsidi tambang percuma. 

Katanya, ini kerana subsidi RM155 juta untuk tambang percuma itu sudah pasti tidak dapat menyelesaikan masalah dasar yang dihadapi oleh penumpang pengangkutan awam.

“Cadangan pertama adalah dengan menambah jumlah kereta api dan koc kereta api kepada penumpang. Cadangan in berupaya untuk meningkatkan jumlah kapasiti penumpang dalam satu-satu masa. Malah, ia dapat meningkatkan kekerapan frekuensi kereta api untuk mengurangkan kesesakan penumpang. 

“Kedua adalah dengan menambah jumlah bas awam untuk penumpang. Realitinya, jumlah penumpang yang bergantung kepada pengangkutan bas awam semakin ramai dan kesesakan serius berlaku apabila jumlah bas tidak mencukupi untuk menampung jumlah penumpang. Cadangan ini juga dapat menambah jumlah laluan bas ke kawasan yang baru.

“Terakhir adalah dengan menaik taraf kemudahan di setiap stesen. Saya juga menerima banyak aduan dari penumpang bahawa stesen-stesen sedia ada mempunyai masalah serius dalam menjaga kemudahan untuk orang ramai termasuklah kemudahan untuk warga emas, OKU. Isu keselamatan juga menjadi perhatian apabila lampu tidak bernyala, lantai basah kerana kebocoran siling dan lif yang tidak berfungsi,” ujarnya. 

Jelas Ahli Parlimen Muar itu, beliau juga bersedia untuk bertemu dengan Perdana Menteri bagi membawa isu-isu berbangkit dari masalah pengangkutan negara.  –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya