GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang disarankan bekerjasama dengan pelbagai pihak tanpa mengira fahaman politik dalam menangani isu rumah mampu milik demi menjaga kebajikan rakyat Pulau Pinang.
Pengerusi Parti Bangsa Malaysia (PBM) Pulau Pinang, Alan Oh berkata, pihaknya berpendapat, satu kerjasama strategik di antara Kerajaan Pusat khususnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan tempatan (KPKT) dan kerajaan negeri perlu diambil untuk menyelesaikan isu itu bagi memastikan bekalan rumah mampu milik kepada rakyat Pulau Pinang tidak terjejas.
”Umum mengetahui kenaikan harga bahan binaan semenjak akhir-akhir ini menyebabkan banyak pemaju mengalami kerugian dan banyak projek dalam perancangan tidak dapat dilaksanakan.
”Oleh itu, PBM Pulau Pinang memohon supaya Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dapat memberi perhatian dan bekerjasama dalam isu rumah mampu milik di negeri ini demi menjaga kebajikan rakyat Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan harga rumah dijangka terus meningkat sehingga 2025 dengan kenaikan sehingga 10 peratus setiap tahun sekali gus menyaksikan tiada lagi rumah kos rendah berharga RM200,000 ke bawah.
Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Ishak Ismail berkata, peningkatan tersebut diramal terus berlaku jika tiada kawalan, tindakan mahupun polisi daripada pihak kerajaan bagi mengekang kenaikan kos binaan.
Menurut Alan, selain itu, isu kekurangan tenaga kerja juga telah mengakibatkan kenaikan kos buruh sekali gus memberi impak kepada harga jualan rumah.
”Kawalan harga barang mentah adalah suatu keperluan dan ini hanya dapat dilakukan dengan kerjasama Kerajaan Pusat,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga har7s membuka ruang seluasnya kepada Kerajaan Pusat melalui KPKT untuk membantu bersama dan memastikan setiap projek perumahan mampu milik dapat disiapkan seperti dirancang. –UTUSAN ONLINE