PRU15: Warisan sedang kenal pasti kerusi ditandingi di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

PRU15: Warisan sedang kenal pasti kerusi ditandingi di Negeri Sembilan

AZMAN Idris (tengah) dalam sidang akhbar pelancaran parti Warisan Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Parti Warisan Sabah (Warisan) menyasarkan empat buah kerusi Parlimen dan sekurang-kurang 20 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Warisan Negeri Sembilan, Datuk Azman Idris berkata, ketika ini pihaknya sedang mengenal pasti kerusi-kerusi tersebut sebelum ia dibawa ke peringkat majlis tertinggi parti itu untuk dibincang dan diputuskan.

“Parti Warisan memang akan bertanding (di Negeri Sembilan) dan sekarang dalam kajian dan pemantauan, lihat mana-mana kerusi yang sesuai. Berapa (jumlah) bagaimanapun akan diputuskan majlis tertinggi parti.

“Kami parti untuk semua rakyat, kami fokus kepada tempat yang kami boleh bertanding dan kerusi yang kami lihat rakyat memerlukan khidmat kami. Rakyat akan ada banyak pilihan dan kami salah satu sebagai pilihan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar Pelancaran Parti Warisan Negeri Sembilan di sini hari ini.

Sementara itu, Azman berkata, keahlian parti Warisan di Negeri Sembilan kini mencecah kira-kira 2,000 orang yang melibatkan kira-kira 25 buah cawangan.

“Parti Warisan sudah lebih setahun digerakkan di negeri ini dan Alhamdulillah sambutan yang diterima menggalakkan daripada orang ramai kerana kami merupakan sebuah parti yang memberi khidmat kepada rakyat.

“Saya berpandangan, Warisan boleh pergi jauh di Negeri Sembilan, ramai sekarang berada di atas pagar dan kami akan mengambil kesempatan untuk menarik (sokongan) mereka ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dijadual hadir merasmikan pejabat perhubungan parti Warisan Negeri Sembilan di sini pada 19 Jun ini. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN