KUALA LUMPUR: Golongan kewangan profesional dalam bidang kewangan perlu memainkan peranan lebih besar dalam menghadapi perubahan pesat geopolitik, perubahan iklim dan perkembangan kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, perkara itu antara aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh golongan profesional kewangan bagi memastikan perniagaan mampu menyesuaikan diri dengan landskap ekonomi global yang semakin kompleks.
“Saya rasa profesion kewangan sedang menghadapi perubahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, termasuk disebabkan AI dan pelbagai perkembangan lain.
“Namun, pandemik Covid-19 mengingatkan kita bahawa apabila rantaian bekalan global terganggu, kesannya boleh dirasai dengan begitu cepat dan meluas.
“Konflik Rusia-Ukraine yang bermula pada 24 Februari 2022, diikuti pula oleh ketegangan dan krisis di Asia Tenggara pada Oktober 2023 serta konflik lain yang berterusan, menunjukkan dunia kini berhadapan dengan persekitaran yang semakin kompleks dan tidak menentu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Ulang Tahun Ke-10 Kerjasama Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Chartered Accountants Australia & New Zealand (CA ANZ) di sini semalam.
Menurut Chin Tong, kesemua perkembangan ini mengajar organisasi tidak boleh lagi hanya bergantung kepada andaian bahawa keadaan global akan sentiasa stabil.
“Sebaliknya, kita perlu membina daya tahan, meningkatkan keupayaan untuk menyesuaikan diri serta memastikan strategi perniagaan sentiasa bersedia menghadapi perubahan dan ketidakpastian.
“Ini masa penting untuk kita memikirkan apakah peranan utama dan pelan tindakan yang perlu dilaksanakan oleh arkitek kewangan bagi perniagaan masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, isu iklim dan kelestarian juga perlu diberi perhatian serius oleh profesion kewangan.
Menurutnya, badan perakaunan dan penetapan piawaian antarabangsa kini semakin memberi perhatian terhadap aspek kelestarian, termasuk bagaimana isu berkenaan boleh diukur, dilaporkan dan ditadbir dengan lebih berkesan.
“Ini adalah perkara yang perlu difikirkan dengan berhati-hati oleh profesion perakaunan, termasuk bagaimana untuk mengukur, mengawal dan memastikan apa juga yang dilakukan berkaitan isu iklim dan kelestarian,” katanya.
Menyentuh perkembangan AI, Chin Tong berkata, teknologi berkenaan tidak akan berhenti berkembang dan profesion kewangan perlu menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.
Katanya, persoalan utama bukan sekadar bagaimana menggunakan AI, tetapi bagaimana mengubah amalan perniagaan supaya manfaat teknologi itu dapat dimaksimumkan.
“Kita perlu kembali dan melihat semula amalan perniagaan, peraturan dan bagaimana kita mengatur diri supaya dapat membangunkan sistem baharu.
“Kita tidak boleh mengekalkan struktur fizikal dan peraturan lama, kemudian hanya menggunakan AI untuk melakukan perkara yang sama. Pendekatan itu tidak akan membantu kita menyelesaikan masalah atau menguruskan cabaran masa depan,” katanya. – UTUSAN











