Halang MP ada kes, tindakan zalim - Ahmad Maslan - Utusan Malaysia

Halang MP ada kes, tindakan zalim – Ahmad Maslan

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan cadangan reformasi Parlimen termasuk meminda akta yang membolehkan sama ada melarang atau membenarkan Ahli Parlimen yang dituduh di mahkamah untuk bersidang sebagai satu tindakan zalim. 

Beliau berkata, ini kerana ia melanggar prinsip asas ‘tidak bersalah sehingga diputuskan benar-benar bersalah’ dan beban pembuktian ‘di luar keraguan munasabah’. 

“Jangan ditambah kezaliman kepada mereka yang mungkin sedang dizalimi,” katanya dalam satu hantaran di Twitter, hari ini. 

Semalam, media melaporkan, Kabinet bersetuju dengan cadangan melaksana reformasi Parlimen termasuk meminda Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) sama ada melarang atau membenarkan Ahli Parlimen yang dituduh di mahkamah, digantung daripada menghadiri persidangan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara itu masih diperhalusi untuk disesuaikan dengan perkembangan dan peraturan sedia ada Dewan Rakyat. 

Selain pindaan Akta 347, Wan Junaidi berkata, dua lagi cadangan reformasi Parlimen yang dipersetujui Kabinet pada mesyuarat kelmarin adalah berkaitan penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen serta pengenalan Draf Kod Etika Ahli-Ahli Parlimen.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan yang dimuat naik, ahli Parlimen Pontian itu bagaimanapun mengakui perkara itu masih di peringkat cadangan yang belum dibentang dan dibincang bersama ahli-ahli Parlimen yang lain. 

“(Namun) Hukuman (kes mahkamah ahli Parlimen) boleh dirayu hingga ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Sehinggalah Mahkamah Persekutuan membuat keputusan, seseorang itu masih berpeluang untuk didapati tidak bersalah atau bersalah. 

“Tidak kiralah seseorang itu Ahli Parlimen Kerajaan atau Pembangkang atau rakyat biasa, negara ini tertakluk kepada prinsip ‘innocent until proven guilty’. 

“Maka sewajarnya Ahli Parlimen perlu dibenar meneruskan tugas di kawasan dan di Dewan Rakyat sehinggalah Mahkamah tertinggi iaitu Mahkamah Persekutuan membuat keputusan,”  katanya. 

Ahmad menambah, mana-mana ahli Parlimen yang mempunyai kes mahkamah juga wajar untuk mengikuti, mengambil bahagian, mengundi dalam sidang di Dewan Rakyat dan berkhidmat di kawasannya selama tempoh perbicaraan. 

Katanya, ini kerana terlalu kerap sesuatu kes mengambil keputusan yang lama. 

“Beliau adalah masih tidak bersalah selagi keseluruhan prosesnya belum selesai,” jelasnya.  –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya