PADANG BESAR: Kemenangan Pengerusi PKR negeri, Amran Kamarudin yang berkelebihan empat undi bagi jawatan Ketua Cabang PKR Padang Besar belum selamat apabila pencabarnya, Zainol Sabu akan membuat bantahan keputusan itu.
Zainol akan membuat bantahan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) berhubung undi ragu dan beberapa perkara lain yang didakwa tidak mengikut peraturan.
Menurut keputusan yang dipaparkan menerusi laman web wwww.pemilihankeadilan2022.com, Amran didapati mempunyai 11 undi ragu manakala Zainol enam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zainol berkata, keputusan yang menyaksikan beliau tewas dengan empat undi seolah-olah tidak masuk akal, disebalik calon daripada pasukannya bagi jawatan timbalan, Angkatan Muda Keadilan (AMK) termasuk wanita menang.
“Kita kenal pengundi kita dan sememangnya kami yakin menang selepas mendapat sokongan kuat daripada akar umbi.
“Manakala sedia maklum, akar umbi telah menolak kepemimpinan Amran di Padang Besar. Saya akan hantar bantahan kepada JPP dan masih optimis boleh menang jawatan Ketua Cabang PKR Padang Besar itu,” katanya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, Amran menang tipis jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Padang Besar dengan berkelebihan hanya empat undi mengatasi pencabarnya, Zainol yang sebelum ini merupakan ahli jawatan kuasa cabang itu.

Amran memperolehi 109 undi manakala Zainol yang hampir mencipta kejutan mendapat 105 undi.
Bagi jawatan Timbalan Ketua Cabang pula dimenangi oleh Roseli Salim yang memperoleh 113 undi manakala pencabarnya, Cheng Chee Yang mendapat 103 undi.
Manakala jawatan Ketua AMK Cabang Padang Besar dimenangi oleh Raskhairulimran Raszali yang memperoleh 41 undi mengatasi pencabarnya, Natthavuth Seng yang mendapat 35 undi.
Jawatan Ketua Wanita Cabang PKR Padang Besar pula dimenangi oleh Zainab Ibrahim yang mengatasi pencabarnya, Norma Baharom.
Tambah Zainol, Pengerusi PKR Perlis itu sememangnya ditolak dengan akar umbi ingin membuat perubahan di cabang berkenaan. –UTUSAN ONLINE