KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikatakan memberi jaminan untuk pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada minggu depan.
Menerusi kenyataan media Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perdana menteri telah bertemu dengan pemimpin utama Pakatan Harapan (PH).
“Saya bersama Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah mengadakan pertemuan dengan perdana menteri di Parlimen.
“Kami mendapat jaminan daripada Perdana Menteri bahawa suatu pindaan Perlembagaan terkait Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentang minggu depan,” katanya.
Pertemuan itu berlangsung sekitar pukul 2 petang dan berlanjutan sehingga 40 minit.
Dalam pertemuan yang sama, PH turut memberikan cadangan berkaitan dengan prosedur operasi standard (SOP) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Kami turut mencadangkan agar diberikan kelonggaran terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memudahkan proses kempen Pilihan Raya Negeri Johor.
“Kami juga mengulangi pendirian berhubung penjelasan beliau di Parlimen pagi tadi berhubung peranan dan tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang harus bertindak tanpa bersikap selektif,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE