PETALING JAYA: Kerajaan diminta melakukan rundingan dengan Singapura bagi mempercepatkan pembukaan sempadan secara menyeluruh untuk memberi nafas baharu kepada sektor ekonomi negara khususnya di Johor.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, dalam manifesto BN, turut dimuatkan ikhtiar untuk menyegerakan pembukaan sempadan di antara Johor-Singapura demi menyemarakkan aktiviti ekonomi rentas sempadan kedua-dua negara.
Khaled berkata, ketika ini, Johor Bahru dan masyarakat sekitarnya sangat memerlukan pembukaan segera tambak Johor dan Lintasan Kedua.
“Johor Bahru telah jadi bandar raya lesu dan malap sejak dua tahun lepas tanpa aktiviti ekonomi yang aktif dan pergerakan manusia rentas sempadan. Lihat sahaja JBCC ( Johor Bahru City Centre) dan pelbagai pusat beli belah serta kedai sekitar bandaraya Johor Bahru.
“Saya tidak pernah terbayang ia akan separah ini. Tiada impetus dan rangsangan ekonomi dapat memulihkan Johor Bahru tanpa pembukaan sempadan kedua-dua negara. Kedudukan unik Johor sangat bergantung kepada ekonomi rentas sempadan.
“Sehubungan itu, Malaysia mesti merunding segera dengan kerajaan Singapura tentang pergerakan rentas sempadan ini secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Khaled, kerajaan sudah melakukan segalany untuk berdepan pandemik Covid-19 dan pembukaan sempadan wajar dilakukan demi kebaikan semua pihak.
“Berkurung sudah, vaksin sudah, ‘booster’ sudah, SOP (prosedur operasi standar ) sehingga jemu. Semuanya telah rakyat lakukan dengan kepatuhan.
“Namun hidup harus diteruskan. Ada masa depan untuk dibina, ada mulut perlu disuap, ada cita-cita ingin dicapai. Semua ini tidak boleh ditewaskan dengan virus Covid-19 ini.
“Semoga Perdana Menteri dan Kabinetnya segera melakukan apa yang sepatutnya dilakukan untuk sempadan kita demi kelangsungan hidup rakyat, perniagaan dan pelaburan,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, Johor mesti melupakan ‘the new normal’ dan kembali kepada kehidupan biasa yang sesuai, selari dan seiring fitrah manusia sebagai makhluk sosial. –UTUSAN ONLINE