Bubar DUN Johor sia-sia jika pilih semula parti korupsi - Tun M - Utusan Malaysia

Bubar DUN Johor sia-sia jika pilih semula parti korupsi – Tun M

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk mendapat kerajaan yang baik hanya menjadi sia-sia jika parti-parti sama terutamanya yang terpalit korupsi dipilih semula.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, begitu juga pertukaran Perdana Menteri dari Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilihat tiada apa-apa kebaikan.

Menurut Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu, sekiranya ingin melihat perubahan berlaku, maka perlu diketahui siapa yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini yang boleh dibahagikan parti-parti kepada dua kumpulan. 

“Satu kumpulan lama yang ditewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana amat korup dan menghilangkan duit rakyat. Kumpulan ini dipimpin Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang dihadap ke mahkamah dan didapati bersalah. Bersamanya ialah Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi). 

“Yang melawan dengan parti pimpinan Najib dan sekutunya ialah parti baharu yang tidak ada sejarah curi duit dan salah guna kuasa iaitu parti Pejuang. Terdapat juga parti-parti yang kecil,” katanya dalam surat keempat kepada pengundi Johor hari ini. 

Dr. Mahathir berkata, di antara parti-parti yang bertanding itu, hanya Pejuang meletakkan jumlah calon (42 calon) yang mencukupi untuk mendirikan kerajaan. 

Katanya, Pejuang dipimpin oleh tokoh lama yang menolak rasuah bersama pemimpin baharu yang juga bersih dari rasuah. 

Jika Pejuang dipilih, kata beliau, maka akan berlakulah pertukaran iaitu daripada yang buruk kepada bersih, sekali gus negara akan bebas dari rasuah iaitu sesuatu yang diperjuangkan oleh Pejuang.

“Kita juga boleh kenal parti rasuah kerana mereka mendedah kesalahan mereka semasa berkempen. UMNO mendedahkan kesalahan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dan PN/Bersatu dedah korupsi UMNO. 

“Rakyat Johor yang budiman, PRN Johor ini boleh jadi teladan dan contoh kepada seluruh negara,” katanya.

Pada masa sama, Dr. Mahathir berkata, jika Johor tolak rasuah dan memilih yang ‘bersih’, besar kemungkinan dalam PRU-15 perkara yang sama akan berlaku. 

Maka, katanya, akan tamatlah kleptokrasi di Malaysia yang tercinta ini, sebaliknya dunia akan lihat kembalinya Harimau Asia (Asian Tiger). –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya