MELAKA: Perspektif medan pengundian pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak lagi menjanjikan kerusi putih atau deposit selamat kepada mana-mana parti.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari berkata, apa yang pasti, kerusi yang mudah untuk dimenangi sudah tidak ada dalam mana-mana pilihan raya.
Katanya, yang perlu ada adalah semangat untuk membina kesepakatan bersama dan kejujuran untuk memacu kehadapan.
“Untuk dapat semua akan menghilangkan semua. Minoriti akan kekal menguasai majoriti, kerana yang punya majoriti berpecah dan dipecahkan melalui kuasa sementara.
“Bersama kita satukan gagasan bersama, ‘Johor Bangkit’ di bawah khemah besar dan insha-Allah, ia akan disokong rakyat,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, PRN diadakan selepas pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua DUN, Suhaizan Kayat berhubung pembubaran DUN ke-14 pada 23 Januari lalu.
Sehubungan itu, menurutnya, SPR telah menetapkan hari penamaan calon pada 26 Februari manakala hari mengundi awal pula adalah 8 Mac. –UTUSAN ONLINE