KUBANG PASU: “Saya hendak jadi juruterbang pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Saya akan ingat pesan umi dan walid supaya belajar bersungguh-sungguh.”
Demikian kata Putri Qisya Nur Izat Mohamad Azim Izat, 12, anak sulung pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi yang ditemukan lemas di Sungai Korok, Jitra di sini semalam.
Katanya, meskipun masih bersedih, dia perlu terus kuat untuk meneruskan kehidupan termasuk menyambung persekolahan seperti biasa.
“Ramai cikgu dan ustazah datang beri semangat, mereka minta Qisya sentiasa doakan arwah umi dan walid. Mereka kata Qisya anak solehah, umi dan walid tunggu di sana,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Turut lemas dalam kejadian itu ialah empat adiknya iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izat, 8, Annayla Humaira Nur Izat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.
Putri Qisya juga mengakui dia sangat merindui ibu bapa dan empat adiknya yang sangat rapat dengannya.
“Saya rapat dengan semua adik kerana bantu umi jaga mereka, memang rindu,” katanya sambil mengalirkan air mata.-UTUSAN










