IPOH: Tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Gerik memandangkan tempoh pembubaran Dewan Rakyat semakin hampir.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, PRK Gerik hanya akan membazirkan tenaga ekoran tidak sampai setahun sahaja Ahli Parlimen di kawasan berkenaan akan berkhidmat.
Menurut Saarani, sebaik-baiknya kerusi Parlimen berkenaan dibiarkan kosong sehinggalah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.
“Saya fikir tidak perlu PRK Gerik sebab kita nak dekat tarikh pilihan raya sebenar di mana tempoh lima tahun akan tamat pada Mei 2023, ini sudah Februari 2022.
“Pada saya, biarlah ia kosong sehingga dibubarkan Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari sempena Tahun Baharu Cina 2022 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di sebuah hotel di sini hari ini.
Ditanya sama ada UMNO Perak telah mengadakan perbincangan mengenai keputusan untuk tidak melaksanakan PRK Gerik, Saarani berkata, perkara itu tidak dibincangkan.
“Tidak ada perbincangan. Tanya pendapat saya, saya kata tidak perlu,” katanya.
Saarani mengulas sama ada UMNO Perak akan memohon untuk mengadakan PRK Gerik seperti UMNO Sabah yang memohon PRK bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.
24 Januari lalu, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan pihaknya sudah memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan PRK DUN Bugaya.
Menurut Bung Mokhtar, keputusan untuk mengadakan PRK tersebut dijangka diketahui dalan tempoh terdekat.
Kerusi Parlimen Gerik kosong selepas penyandangnya, Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Raub, Pahang 16 November 2020.
Hasbullah, yang memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Gerik pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor pada 2008 sebelum menjadi ahli Parlimen sejak 2013 sehingga 2020. – UTUSAN ONLINE