JOHOR BAHRU – Calon Barisan Nasional (BN) dijangka menampilkan sekurang-kurangnya 30 peratus muka baharu yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, pendekatan yang diambil itu dilihat dapat memperkukuhkan peluang BN itu untuk memenangi PRN ini.
Katanya, BN yang akan bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan mengumumkan senarai penuh calon PRN Johor pada Khamis ini.
“Kita kini berada di peringkat akhir untuk muktamadkan calon-calon untuk PRN Johor yang menampilkan ramai muka baharu termasuk calon muda di bawah 40 tahun.
“Daripada jumlah tersebut, sekurang-kurang 30 peratus calon kita nanti adalah calon muka baharu.
“Saya yakin langkah menyenaraikan ramai calon muka baharu dan muda ini akan dapat perkuatkan peluang BN untuk berjaya pada PRN nanti,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Penyumbang Sektor Agromakanan Negeri Johor 2022, di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Samsolbari Jamali.
Pada 28 Januari lalu, UMNO dan BN Johor dilaporkan akan melakukan perubahan termasuk mengemukakan lebih ramai calon muda, memenuhi kehendak masyarakat dan akar umbi.
Hasni dilaporkan berkata, calon parti akan mengambil kira keperluan semasa termasuk pertambahan pengundi baharu susulan pelaksanaan secara automatik Undi18. –UTUSAN ONLINE