BEERSHEBA: Beberapa kontraktor Amerika Syarikat (AS) yang mengawal lokasi agihan bantuan makanan di Gaza mendedahkan peluru hidup dan bom tangan digunakan terhadap warga Palestin yang kelaparan dan terdesak mendapatkan bantuan, menurut laporan dan video yang diperoleh AP.
Dua kontraktor AS berkata kepada AP, mereka membuat pendedahan kerana bimbang terhadap amalan keselamatan yang dianggap cuai dan berbahaya serta tidak berperikemanusiaan.
Mereka mendakwa pasukan keselamatan yang diupah oleh pihak penyedia bantuan terdiri daripada individu yang tidak terlatih, tidak disaring latar belakang, bersenjata berat dan bertindak seolah-olah memiliki lesen bebas untuk melakukan apa sahaja.
Menurut mereka, rakan setugas sering melempar bom kejutan dan semburan lada ke arah warga Palestin. Seorang kontraktor berkata tembakan dilepaskan ke udara, ke tanah dan kadang-kala terus ke arah orang ramai dan dia percaya pernah menyaksikan seseorang terkena tembakan.
Katanya, staf AS turut memantau dan mendokumenkan individu yang dianggap mencurigakan ketika datang mengambil bantuan makanan dan maklumat tersebut dikongsi dengan tentera Israel.
Video-video yang dikongsi kepada AP menunjukkan ratusan warga Palestin bersesak di antara pagar logam, berebut bantuan di tengah-tengah bunyi tembakan, letupan bom kejutan dan semburan lada.
Pendedahan ini beserta laporan dalaman dan mesej teks yang diperoleh AP memberikan gambaran mengenai operasi Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong oleh Israel dan ditubuhkan untuk menyelaras pengagihan makanan kepada rakyat Gaza.
Tapak GHF terletak di zon yang dikawal tentera Israel dan wartawan tidak dibenarkan membuat liputan.










