JOHOR BAHRU: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, kehadirannya ke Perarakan Chingay 2022 dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew, baru-baru ini adalah atas jemputan penganjur.
“Sebenarnya kedua-dua lawatan itu dibuat sebab saya dijemput, bukan saya minta dijemput sebaliknya penganjur Perarakan Chingay dan pengurusan sekolah berkenaan yang minta saya hadir.
“Kalau masyarakat tempatan sendiri minta saya hadir, kenapa orang lain nak sibuk pula, itu hak mereka hendak jemput siapa sahaja.
“Jika mereka hendak jemput pemimpin DAP pun itu hak mereka, tetapi, kali ini, mereka tidak jemput pemimpin DAP, mengapa? Itu kena tanya mereka sendiri,” katanya kepada pemberita ketika menyantuni komuniti Cina di Taman Bukit Indah, di sini.
Kelmarin, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membidas tindakan Najib yang mengunjungi SJKC Foon Yew di Bandar Seri Alam dan mendakwa tindakan itu tidak beretika kerana menggunakan isu pendidikan negara sebagai modal politik.
“Saya harap ahli politik tidak politikkan isu pendidikan, jangan masuk sekolah untuk buat ucapan politik dan memancing undi kerana itu satu tindakan yang tidak beretika,” kata Guan Eng.
Tambah Najib, dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan saya hadir sendiri ke dua-dua lokasi itu tidak benar.
“Saya dijemput, tak boleh datang sendiri kalau mereka tidak jemput, saya tidak mahu seperti hidung tak mancung pipi pula tersorong-sorong,” jelasnya.
Terdahulu, Najib turun bersarapan bersama masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas sambil diiringi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ramlee Bohani sebelum menyantuni masyarakat Cina di Taman Bukit Indah, Perling. –UTUSAN ONLINE