PONTIAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta memberi kebenaran kepada parti-parti politik mengadakan ceramah di bawah khemah dengan anggaran penyertaan seramai 100 orang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, prosedur standard operasi (SOP) yang membenarkan ceramah di kawasan tertutup sukar untuk dilaksanakan.
Katanya, jika SPR dapat memenuhi permintaan tersebut, ia akan memberikan kemudahan kepada parti-parti politik untuk melaksanakan kempen mereka lebih selesa dengan kebenaran polis.
“Kemudahan awam seperti dewan raya, dewan serba guna, balai raya dan sebagainya tidak boleh digunakan oleh parti-parti politik menganjurkan ceramah.
“Memandangkan masih ada 12 hari waktu berkempen, SPR perlu pertimbang permintaan ini supaya ceramah dapat dilakukan di tempat terbuka dengan pematuhan SOP yang ketat,” katanya ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin untuk dos penggalak di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Benut, hari ini.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut mencadangkan waktu ceramah yang hanya dibenarkan sehingga 10 malam buat masa ini perlu dipanjangkan kepada pukul 11 malam.
“Waktu tersebut dianggap terlalu singkat dan bagi masyarakat Islam, mereka baru selesai menunaikan solat fardu Isyak yang kini berakhir pada pukul 9.15 malam,” ujarnya.
Menyentuh mengenai calon-calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, ujar Ahmad, BN telah hampir memenuhi permintaan daripada golongan wanita dengan menamakan 14 calon.
“Walaupun tidak dapat memenuhi permintaan sebanyak 30 peratus kuota bagi calon wanita, tetapi, mereka telah memperoleh 25 peratus atau satu perempat daripada jumlah yang dipohon,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad berkata, kebanyakan mereka yang ditampilkan sebagai muka baharu sebenarnya calon yang berpengalaman dalam politik dan telah bermula sebagai pemimpin di peringkat akar umbi.
Sebagai contoh, katanya, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang bertanding di Rengit bukan orang baharu, cuma, beliau belum pernah bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding Parlimen, sebelum ini.
“Begitu juga dengan Anuar Abd. Manap yang sebelum ini bekas Ahli Parlimen Sekijang, kini bertanding di kerusi DUN Pemanis, orang baharu tetapi lama dalam politik,” tambahnya. –UTUSAN ONLINE