JOHOR BAHRU: Kekuatan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bukan hanya pada jenama yang dikaitkan dengan golongan muda, tetapi sebaliknya pembaharuan yang hendak dibawakan dalam politik tanah air.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak kisah sekiranya parti politik janggal menggunakan terma pengundi muda kerana bimbang dikaitkan dengan jenama parti berkenaan.
Menurut beliau, pihaknya tidak pernah memaksa mana-mana individu untuk menyokong perjuangan Muda hanya kerana ia didasari golongan muda, tetapi sebaliknya nilai keseluruhan perjuangan parti.
“Secara jujurnya kami tidak terlalu fokus kepada apa-apa perkataan, sebaliknya fokus kami adalah untuk menganalisis politik dasar dengan nilai dan perkhidmatan, itu jauh lebih penting.
“Muda tidak terbatas untuk orang muda dan bukan sekadar pada nama sahaja kerana ideologi, perjuangan dan pembaharuan yang ingin dibawakan lebih daripada itu.
“Kalau kita bicarakan soal ‘wording’ tetapi hilang integriti, maruah dan fokus kepada pembaharuan dasar, itu lagi susah. Tetapi saya hormat mana-mana pihak yang tidak mahu menggunakan terma pengundi muda kerana bimbang mempromosi kami,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan calon pertama Muda iaitu Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd. Aziz yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa.
Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad dilaporkan berkata pihaknya tidak mahu penggunaan terma pengundi muda diguna pakai akibat daripada pelaksanaan Undi-18, sebaliknya beliau mahu terma pengundi baharu.
Syed Saddiq yang juga merupakan Ahli Parlimen Muar itu turut memberitahu, parti itu perlu terus diperkenalkan melangkaui nama beliau kerana Muda bukan miliknya seorang.
“Apabila Muda ditubuhkan, ia adalah untuk memberi peluang kepada lebih ramai calon beribawa dan berwawasan, bukan sekadar memberi peluang kepada seseorang yang telah dipilih di Parlimen Muar.
“Apa yang penting sekarang adalah prioriti untuk menonjolkan pimpinan Muda Johor dan bakat baharu yang sebelum ini tak diberikan peluang,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE