Hasni sedia galas tanggungjawab sebagai 'poster-boy' dalam PRN Johor - Utusan Malaysia

Hasni sedia galas tanggungjawab sebagai ‘poster-boy’ dalam PRN Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: ‘Poster boy’ Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berazam untuk membawa Johor ke era penuh kemajuan sekiranya gabungan parti politik itu berjaya menubuhkan kerajaan negeri selepas 12 Mac nanti.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, itu antara komitmen beliau terhadap rakyat negeri ini sekiranya diamanahkan dengan tanggungjawab berkenaan.

“Jika saya diamanahkan sebagai ‘poster-boy’ bagi BN dalam kempen menjelang PRN Johor ini, saya komited untuk membawa Johor ke era sejarah yang penuh dengan kemajuan, seperti kepemimpinan BN terdahulu.

“Selain itu, skim kuota menegak kerajaan (KMK) yang dilaksanakan kerajaan BN sebelum dimansuhkannya oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) juga akan dikembalikan bagi memberi lebih peluang perumahan kepada masyarakat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Briged MIC Johor, di Stadium Tertutup EduCity, di sini hari ini.

Turut hadir, Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan, Pengerusi MIC Johor, R. Vidyananthan dan barisan kepimpinan MIC lain.

Hasni yang juga merupakan Pengerusi UMNO Johor turut memberitahu, pihaknya turut menyarankan agar jentera kempen BN tidak menggunakan terma pengundi muda dalam PRN Johor ini.

“Penggunaan terma pengundi muda perlu diubah kepada pengundi baharu, kerana saya tidak mahu terma itu dikaitkan dengan Muda (Parti Ikatan Demokratik Malaysia).

“Jadi kalau kita menghadapi pengundi automatik ini, saya harap tidak ada lagi penggunaan pengundi muda, saya tidak mahu parti Muda itu seolah-oleh mewakili orang muda,” ujarnya.

Hal itu kerana katanya, BN dan semua parti komponennya telah terlebih awal menggerakkan usaha melibatkan kepentingan dan kebajikan golongan muda di negeri ini sejak dahulu lagi.

“Semua parti komponen dalam BN, kita tidak pernah lupa golongan ini, kita beri jaminan dan keyakinan bahawa peranan, suara dan pendapat orang muda memang tidak pernah dilupakan dalam agenda pembangunan negara,” tambahnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN