PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berhubung pembubaran DUN negeri itu.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya akan memaklumkan kemudian tarikh mesyuarat khas SPR berhubung pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam kenyataan media.
“Ya sudah terima (pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Johor berhubung pembubaran DUN bagi membolehkan PRN dilaksanakan). Kenyataan media akan diedarkan (berhubung mesyuarat SPR),” katanya di sini semalam.
Sebagaimana kebiasaan, SPR akan menetapkan tarikh pelaksanaan PRN dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
Mesyuarat SPR nanti antara lain bertujuan membincangkan tarikh-tarikh penting PRN seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.
Sabtu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani dokumen watikah pembubaran DUN Johor selepas baginda menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad.
Dengan keputusan itu, Johor bakal menjadi negeri seterusnya yang akan menyaksikan PRN diadakan selepas Sabah, Melaka dan Sarawak, sebelum ini.
Watikah yang ditandatangani baginda itu berkenaan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bahawa Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim termansuh pada 22 Januari 2022.
Khabar angin bahawa Johor bakal menyaksikan PRN diadakan semakin kedengaran khususnya selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember lalu.
Hal itu menyebabkan kedudukan kerajaan negeri Johor dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN. -UTUSAN ONLINE










