JOHOR BAHRU: Parti politik pembangkang yang mahu bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu berada dalam satu blok yang sama bagi mengelakkan berlakunya pertembungan tiga penjuru atau lebih di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, kesepakatan antara parti pembangkang perlu kerana pertembungan sesama sendiri hanya akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, jika tiada kerjasama antara parti pembangkang, ia hanya akan merugikan sekaligus mengurangkan peluang pembangkang untuk memenangi PRN Johor.
“Kita ada bincangkan perkara ini antara Amanah, PKR dan DAP. Selain itu, kita juga terbuka untuk berbincang dengan mana-mana parti pembangkang di luar Pakatan Harapan (PH) untuk bersama-sama dalam satu blok.
“Ini termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) atau Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sekiranya mereka mahu bersama-sama dalam menghadapi PRN ini.
“Kita tidak mahu pembangkang bertembung sesama sendiri di mana pembangkang perlu bekerjasama di bawah khemah besar, satu ‘grand coalition’.
“Mungkin kita boleh namakan PH Plus atau sebagainya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dzulkefly yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar itu turut memberitahu, kerjasama itu bukan bermaksud parti pembangkang di luar PH perlu menjadi parti komponen, sebaliknya ia lebih kepada persefahaman politik.
“Persefahaman politik penting terutama melibatkan kerusi-kerusi yang parti pembangkang mempunyai potensi untuk menang. Hal ini penting sekaligus dapat mengelakkan situasi yang berlaku di PRN Melaka lalu.
“Kita juga masih terbuka untuk menjalin kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Kita boleh berbincang dan bawa perkara ini kepada Majlis Presiden PH. Mungkin akan timbul isu pengkhianatan sebelum ini sehingga kerajaan PH hanya bertahan 22 bulan, tetapi itu semua terpulang kepada Majlis Pimpinan PH untuk menentukan,” jelasnya.
Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya akan bermesyuarat berkenaan PRN Johor pada 9 Februari depan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkenaan PRN Johor. -UTUSAN ONLINE










