JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) tidak boleh menggunakan strategi yang sama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seperti yang digunakan mereka ketika merekodkan kemenangan dalam PRN Melaka, tahun lalu.
Exco Pemuda UMNO, Noor Azleen Ambros berkata, situasi politik dan pola pengundian di kedua-dua negeri berkenaan berbeza dan ia perlu dinilai secara berasingan.
Menurutnya, PRN Melaka terjadi kerana kerajaan negeri hilang sokongan wakil rakyat mereka sendiri manakala sebaliknya berlaku di Johor.
“Di Johor, PRN diadakan kerana kerajaan negeri hanya memiliki majoriti tipis iaitu satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja, walaupun pembangkang menyatakan sokongan, namun, keadaannya tidak semudah itu.
“Kerajaan negeri tetap berdepan pelbagai masalah dalam memastikan urusan pentadbiran negeri berjalan seperti dirancang untuk manfaat masyarakatnya,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, kemenangan besar BN di PRN Melaka juga tidak seharusnya dijadikan kayu ukur kepada pelaksanaan PRN Johor maka pendekatan yang digunakan tidak boleh berkonsep kitar semula.
“PRN Johor akan menyaksikan sejarah baharu bagi senario politik tanah air antaranya termasuklah pelaksanaan Undi-18 yang menyaksikan pendaftaran secara automatik buat semua rakyat berusia atas 18 tahun.
“PRN ini juga akan menyaksikan penglibatan parti-parti politik baharu termasuklah Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang baharu sahaja diluluskan, ini cabaran baharu dan kita tidak boleh memandang ringan,” ujarnya.
Noor Azleen yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang sebaliknya berharap BN dan juga UMNO mengambil pengajaran daripada PRN Melaka, khususnya melibatkan DUN Sungai Udang.
“PRN menyaksikan BN gagal mempertahankan kerusi DUN Sungai Udang, itu satu pengajaran yang perlu kita ambil dan lakukan penambahbaikan.
“Saya lihat kita tidak lagi boleh anggap undi awal dan undi penjawat awam sebagai deposit, ini kerana trend pengundian membabitkan golongan ini sudah berubah jadi kita seharusnya lebih bersedia dan berhati-hati dalam membuat keputusan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE