UMNO Kedah sokong kepimpinan Ismail Sabri - Utusan Malaysia

UMNO Kedah sokong kepimpinan Ismail Sabri

JAMIL KHIR BAHAROM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: UMNO Kedah menyatakan pendirian memberi sokongan penuh terhadap kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sehingga penggal ke-14 Parlimen tamat pada 2023.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pihaknya berbangga Ismail Sabri  kerana beliau merupakan Perdana Menteri daripada UMNO yang dilantik ketika PRU-14 yang mandatnya diberikan kepada Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, kegagalan PH dalam mentadbir negara menyebabkan negara mengalami pertukaran Perdana Menteri dan akhirnya jawatan tersebut diberikan kepada Ismail Sabri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah, dalam tempoh 100 hari pentadbirannya juga menampakkan beberapa kejayaan terutamannya dalam usaha melandaikan lekuk kes Covid-19 dan selain usaha-usaha untuk mempergiatkan ekonomi baru.

“Saya nampak seolah-olah masyarakat telah memberi pengiktirafan kepada UMNO antara parti yang diharapkan untuk memimpin dan menerajui negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang akhbar  selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerai 2021 di Dewan Serbaguna Guar Chempedak di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pendirian UMNO Kedah berkaitan Muafakat Nasional (MN) beliau berkata, pihaknya akan menyerahkan perkara tersebut kepada kepimpinan tertinggi UMNO.

“Biarlah keputusan mengenai perkara ini diputuskan oleh pihak atasan kerana apa yang kita cadangkan di peringkat akar umbi akhirnya akan ditentukan pihak atasan juga.

“Namun begitu, saya lihat MN bukan sekadar ungkapan ‘muafakat nasional,’ tetapi, perlu mengambil kira kepada keadaan terkini Pas yang berada di dalam PN, tetapi, pada masa sama MN masih dibicara dan didendangkan.

“Saya fikir dalam hal seperti ini perkara yang paling penting adalah Pas perlu buat ketetapan dan keputusan bagi tujuan melihat mana satu yang jadi pilihan mereka supaya tidak menjadi kekeliruan kepada rakyat,” ujarnya. -UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×