Mengapa layanan berbeza Najib dan Anwar? - Utusan Malaysia

Mengapa layanan berbeza Najib dan Anwar?

HASSAN KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mempersoal keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang menangguhkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Pengerusi PKR Johor itu berkata, permohonan sama pernah dibuat bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes fitnah terhadapnya, namun beliau terus dihantar ke Penjara Sungai Buloh.

Sehubungan itu, pihaknya menuntut mahkamah mengenakan tindakan undang-undang sama terhadap mana-mana individu dan bukan membezakan antara kedua-duanya.

“Tetapi, amalan duluan atau ‘precedent’ dalam kes fitnah kedua Anwar perlu dirujuk. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah melepas dan membebas beliau daripada pertuduhan. 

“Tetapi, kerajaan Barisan Nasional (BN) waktu itu yang diketuai Najib sebagai Perdana Menteri telah mengarahkan Pendakwa Raya membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu. Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan tidak bersalah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Anwar telah memohon penggantungan pelaksanaan hukuman penjara ke atasnya kerana beliau akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan tetapi permohonan itu ditolak dan beliau dihantar terus ke Penjara Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Hassan yang juga seorang peguam, berdasarkan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan semua orang sama rata di sisi undang-undang, maka tidak sepatutnya ada perbezaan antara Najib dengan Anwar.

“Justeru itu, sebagai Ahli Parlimen yang bersumpah untuk memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan, maka saya menuntut supaya apa keputusan yang mahkamah telah jatuhkan ke atas Anwar hendaklah dilaksanakan hal yang sama terhadap Najib.

“Jika demikian berlaku, baharulah dunia melihat sistem undang-undang Malaysia sesungguhnya adil,” ujarnya.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan Putrajaya sebulat suara mengekalkan sabitan salah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. selepas menolak rayuan bekas Perdana Menteri itu.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati rayuan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai merit.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam belanya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya