MELAKA: UMNO Melaka membuat langkah berani apabila bakal menampilkan ramai pemimpin muda mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Langkah itu dilihat mendapat sokongan dalam kalangan pemimpin politik kerana ia dapat mewujudkan sinergi baharu daripada sayap pergerakan Pemuda dan Puteri yang kini menjadi anggota barisan hadapan parti.
Begitupun, rata-rata yang mengetahui diri dicalonkan mengambil sikap diam membisu ketika ditanya mengenai keabsahan pencalonan mereka.
“Tunggulah sehingga nama diumumkan esok, barulah saya dapat beri komen. Ketika ini saya tak berani nak cakap apa-apa, takut di saat-saat akhir nama tidak disenaraikan” kata salah seorang calon kepada Utusan Malaysia.
Setakat berita ini ditulis, difahamkan, seramai lima calon Pemuda dan dua Puteri bakal bertanding menggalas tugas berat dalam usaha memastikan BN kekal di tampuk pemerintahan negeri selepas tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Mengetuai senarai ialah Ketua Pemuda UMNO Melaka, Fairul Nizam Roslan yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Gajah, bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan menggantikan Datuk Seri Ghafaar Atan.
Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr. Akmal Saleh pula akan mengisi kekosongan di DUN Merlimau mengisi kekosongan Datuk Roslan Ahmad yang turut diketepikan.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin adalah doktor perubatan yang menamatkan pengajian di Universiti Russian State Medical pada 2013 dilabel sebagai calon boleh menang di DUN tersebut.
Selain itu, difahamkan juga, dua wakil Puteri ialah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Masjid Tanah, Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah akan bertanding di DUN Kuala Linggi menggantikan Datuk Ismail Othman.
Ketua Puteri UMNO Bahagian Jasin yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira pula akan bertanding di DUN Rim menggantikan Datuk Ghazale Muhamad. -UTUSAN ONLINE











