Tempahan hotel di Melaka menurun kerana SOP PRN - Utusan Malaysia

Tempahan hotel di Melaka menurun kerana SOP PRN

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kekangan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka turut memberi kesan kepada industri perhotelan yang kehilangan hampir separuh tempahan berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Melaka, Sazali Sabri berkata, senario itu dapat dinilai secara kasar apabila jentera parti tidak lagi dilihat memenuhi ruang lobi hotel sekitar negeri ini.

“Susulan arahan Kementerian Kesihatan yang melarang apa juga bentuk perhimpunan berkaitan pilihan raya berkuat kuasa sehingga 27 November, pemain industri perhotelan turut terkesan kerana kita kehilangan hampir separuh tempahan berbanding keadaan PRU sebelum ini. 

“Setakat ini, pada hari biasa, jumlah tempahan diterima hanya mencecah 60 peratus dan penuh pada hujung minggu oleh pengunjung luar yang melancong, bukannya dalam kalangan jentera parti politik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambahnya, pada PRU-14, hampir semua hotel merekodkan keuntungan tinggi, susulan kumpulan penyokong atau jentera parti perlu menginap bagi menjalankan aktiviti berkempen.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, meskipun jumlah tempahan tidak mencapai 100 peratus, rata-rata pengusaha tetap berdepan dengan kekangan tenaga kerja untuk memenuhi permintaan pelanggan.  

“Kami pemain industri gembira dengan pembukaan sempadan dan menerima jumlah kemasukan pelancong yang tinggi, tetapi, timbul isu serta cabaran lain di mana kita kekurangan tenaga kerja dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. 

“Semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai pekerja hotel yang terpaksa diberhentikan dan mereka kini telah mencari peluang pekerjaan di sektor lain termasuk kilang-kilang,” jelasnya. 

Tambahnya, beliau menjangkakan situasi dihadapi pemain industri itu mengambil masa antara lima hingga enam bulan untuk pulih sepenuhnya.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN