Strategi PH salah kerana terima pembelot  - Utusan Malaysia

Strategi PH salah kerana terima pembelot 

DR. AWANG AZMAN AWANG PAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kekalahan Pakatan Harapan (PH) yang hanya menang lima daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akibat menggunakan strategi salah dengan meletakkan calon ‘katak’ sebagai taruhan. 

Pembangkang dilihat terlalu yakin bahawa calon tersebut mampu membawa kemenangan hanya kerana seseorang calon itu lebih dikenali pengundi sedangkan hakikatnya, ia sudah memberi tanggapan negatif terhadap pembangkang yang sanggup menerima calon-calon tidak beretika. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, PH tidak sepatutnya menerima dan meletakkan Datuk Seri Idris Haron sebagai calon kerana beliau dikenali atas tiket dan logo Barisan Nasional (BN). 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penerimaan dua calon (termasuk Datuk Nor Azman Hassan) ke dalam pembangkang ini strategi yang salah. Apa yang penting ialah calon-calon yang kurang beretika, lompat parti perlu ditolak.

“Ini berbeza dengan apa yang PH sebelum ini suarakan iaitu menolak ahli politik yang melompat, tetapi akhirnya mereka tetap terima. Tetapi, keputusan pilihan raya negeri tidak dapat mengubah landskap politik di peringkat nasional, kerana kerajaan Pusat masih di bawah UMNO,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Selain itu, beliau berkata, PH juga berdepan dengan masalah kekeliruan penggunaan logo PH kerana pengundi lebih mengingati logo PKR yang lebih dekat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menarik lebih ramai pengundi memihak pembangkang.

BN membentuk kerajaan negeri Melaka mencatatkan kemenangan dengan majoriti dua pertiga menyaksikan UMNO menang 18 kerusi, diikuti MCA (2) dan MIC (1) manakala PH hanya menang lima kerusi iaitu DAP lima kerusi, Parti Amanah Negara (Amanah) (satu kerusi) dan PKR tewas semua kerusi. 

Senada dengan beliau, Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr. Oh Ei Sun pula berkata, punca kekalahan PH juga adalah kerana kehilangan harapan dan impian untuk berubah melakukan pembaharuan selepas Langkah Sheraton. 

Ia juga antara lain disebabkan di peringkat kerajaan yang negeri yang disering kali berubah akibat tindakan pengkhianatan yang menyaksikan pengundi-pengundi tidak lagi berharap untuk mengubahnya. 

“Oleh itu, ramai pengundi DAP tidak bersusah payah untuk keluar mengundi dan parti-parti tidak bersungguh-sungguh  menggerakkan penyokong tegar mereka untuk mengundi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×