SOP ketat PRN Melaka wajar - Noh - Utusan Malaysia

SOP ketat PRN Melaka wajar – Noh

NOH Omar dalam sidang akhbar menghadiri Majlis Program Prestij Pendidikan 2021 peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang tidak membenarkan aktiviti berkumpul serta kempen dari rumah ke rumah disifatkan sebagai wajar.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar berkata, SOP tersebut dikuatkuasakan bagi melindungi penduduk negeri tersebut serta calon yang bertanding dalam PRN itu daripada dijangkiti wabak Covid-19.

“Kita perlu mengambil iktibar apa yang berlaku ketika PRN Sabah tahun lalu, apabila kes jangkitan harian Covid-19 di Malaysia meningkat.

“Walaupun majoriti rakyat Malaysia sudah divaksin, tetapi, langkah pencegahan perlu diambil untuk mengelak perkara sama berulang lagi,” katanya selepas menghadiri Majlis Program Prestij 2021 peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor di Hotel Mardhiyyah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan beberapa pemimpin parti politik kerajaan dan pembangkang sebelum ini menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menilai semula SOP pilihan raya negeri itu semula.

Gesaan itu dibuat selaras dengan kelonggaran diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada rakyat untuk melakukan aktiviti sosial seperti merentas negeri, mengunjungi kompleks membeli-belah, melakukan aktiviti sukan secara berkumpulan dan lain-lain lagi.

Bagaimanapun, Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersetuju dengan ketetapan yang dibuat SPR sepanjang kempen PRN Melaka berlangsung sehingga hari pengundian pada 20 November.

“Saya berharap semua ahli politik dapat menghormati dan akur dengan SOP yang digubal SPR ini. Walaupun ada di kalangan kita telah menerima dos penggalak, ia tidak menjamin bahawa kita tidak akan dijangkiti Covid-19,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN