‘Segera tampan kenaikan harga barang, contohi Selangor’ -Anwar - Utusan Malaysia

‘Segera tampan kenaikan harga barang, contohi Selangor’ -Anwar

ANWAR Ibrahim dan Amirudin Shari (kiri) ditemui pemberita selepas melawat tapak penjualan sayur anjuran PKPS di Wisma PKPS, Shah Alam, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kerajaan sepatutnya sudah melaksanakan langkah menampan kenaikan harga barang yang meningkat dan membebankan rakyat ketika ini.

Jelas beliau, sekarang bukan masa untuk bermesyuarat,  membuat penyelarasan atau mewujudkan rancangan khas, sebaliknya semua itu sepatutnya sudah dirancang lebih awal dan  agensi-agensi berkaitan perlu turun membantu rakyat menangani masalah kenaikan harga barang.

Justeru, Presiden PKR menyeru kerajaan mencontohi tindakan Kerajaan Negeri Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melaksanakan langkah awal pengawalan harga barangan makanan.

“Saya rasa kerajaan persekutuan sekarang gagal kerana tidak mengambil apa-apa langkah segera, tiada rancangan. Bila kita ada krisis, tengok sayur dia (PKPS) boleh turunkan harga RM2, RM1.50 kerana PKPS ada foodvalley, ladang sendiri dan kurangkan dari segi kos, sekarang ada lima tempat yang mereka kendalikan.

“Jadi, tolonglah, ini krisis nasional baru hendak buat mesyuarat, selaras dan rancangan khas, tak (akan) jalan. Semua agensi mesti bertindak,” katanya selepas melawat tapak penjualan sayuran di Wisma PKPS di sini hari ini.

Dalam lawatan tersebut, beliau memberitahu harga barangan makanan khususnya sayur dapat dikurangkan dengan mendadak dan menyifatkannya sebagai satu usaha yang membanggakan untuk membantu rakyat.

Anwar memberitahu, harga sayuran seperti bayam merah turun daripada RM5.50 kepada RM4.00 sekilogram, brokoli RM20 kepada RM18, timun RM4 kepada RM3.50, pucuk manis RM6 kepada RM4.50, kacang buncis RM15 kepada RM6, cili hijau besar RM14 kepada RM9.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menambah, kerajaan negeri lain dan Persekutuan diharap dapat mengambil tindakan segera terhadap kenaikan harga sayur, ikan dan ayam yang disifatkannya sebagai ‘menggila’ ketika ini.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberitahu usaha yang digerakkan PKPS adalah berterusan selepas dianjurkan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Tetapi dengan usaha yang digerakkan oleh PKPS tadi, ini bukan baharu, sebenarnya kita pernah buat ketika PKP yang lepas kita buat Selangor Agromarket.

“Dalam Selangor Agromarket juga menawarkan harga yang cukup rendah berbanding pasaran ketika musim perayaan dan sebagainya,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya