ALOR GAJAH: Rekod sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah sejak 2018 menjadi sandaran calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, semua calon yang bertanding berpeluang untuk menang, meskipun Tanjung Bidara adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN).
“Dalam mana-mana pertandingan, semua pihak ada peluang untuk menang. Terpulang kepada para pengundi bagaimana untuk menilai rekod perkhidmatan saya sebagai ahli Parlimen selama ini dan apakah harapan mereka terhadap wakil rakyat yang akan berkhidmat nanti.
“Saya yakin rekod khidmat saya mampu memberikan kemenangan. Sekali lagi saya katakan, saya pulangkan (serahkan) semula kepada rakyat dalam proses pemilihan (PRN),” katanya dalam sidang akhbar selepas penamaan calon di sini hari ini.
Mas Ermiyati berdepan saingan tiga penjuru menentang Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang mewakili BN dan calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.
Tambah Mas Ermieyati, komitmen (manifesto) PRN kali ini akan diumum dalam masa terdekat.
Katanya, perkataan komitmen digunakan kerana berasa, orang ramai agak trauma dengan perkataan manifesto.
“Pengumuman komitmen saya sebagai calon DUN Tanjung Bidara akan dimaklumkan kemudian. Buat masa ini ia sedang dikemas kini,” ujarnya.
Sementara itu, berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, Mas Ermieyati yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Masjid Tanah bekata, kekangan berkempen secara bersemuka hanya akan memberi kelebihan kepada calon yang pernah bertanding sebelum ini.
“Pendekatan tanpa bersemuka sedikit sukar bagi calon-calon baharu kerana mereka perlu menonjolkan diri. Sebab itu saya mohon pihak media perlu main peranan terutama kepada calon baharu PN agar mereka mendapat lebih banyak pendedahan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE











