PRU-15 dalam masa terdekat tidak selesai masalah rakyat - Utusan Malaysia

PRU-15 dalam masa terdekat tidak selesai masalah rakyat

AHMAD Faizal Azumu (tengah berdiri belakang) bergambar bersama pasukan Todak dan SMG mewakili negara dalam Kejohanan Dunia M3 Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - UTUSAN/SITI AZIELAH WAHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berpandangan, Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU-15) dalam masa terdekat tidak akan dapat menyelesaikan masalah rakyat.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, ketika ini, rakyat selesa melihat kerajaan memberi fokus kepada usaha memberi perkhidmatan kepada rakyat ketika negara sedang keluar daripada pandemik Covid-19.

“Rakyat lebih selesa melihat kerajaan fokus memberi perkhidmatan untuk keluar daripada pandemik secara lebih selamat dengan menaikkan ekonomi, dan menyediakan peluang pekerjaan berbanding dengan berpolitik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahli Parlimen Tambun itu diminta mengulas mengenai saranan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan supaya PRU-15 wajar diadakan dalam masa terdekat dengan mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang dilihat memihak kepada BN.

“Semua pengamal politik mempunyai peranan untuk memberi tumpuan kepada perkara yang amat rakyat perlukan ketika ini.

“Kalau kita adakan pilihan raya dalam masa terdekat ini, saya tak nampak kita boleh selesaikan permasalahan rakyat yang utama,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia terletak di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pelaksanaan PRU-15.

Terdahulu, Ahmad Faizal menghantar dua pasukan iaitu Todak dan SMG mewakili negara dalam Kejohanan Dunia M3 Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) yang akan berlangsung di Singapura pada 6 Disember ini, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).  

Kedua-dua pasukan adalah peserta yang telah bertanding dalam peringkat akhir Mobile Legends: Bang Bang Professional League Malaysia Musim 8 dan bakal berentap dengan pasukan daripada 14 negara lain termasuk Filipina dan Indonesia yang dijangka bakal memberikan persaingan sengit.

Kesemua mereka berentap untuk merebut hadiah kemenangan berjumlah AS$800,000. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.