GEORGETOWN: Kekalahan Pas di semua lapan kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi isyarat supaya parti itu kembali kepada gabungan Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO.
Veteran politik, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, pengorbanan Pas untuk tidak menggunakan lambang parti itu pada PRN Melaka nampaknya tidak mendatangkan hasil, malah maruah Pas turut tercalar apabila gagal memenangi satu pun kerusi dalam PRN berkenaan.
“Pas ternyata telah salah langkah dalam PRN Melaka, strategi mereka nampaknya telah memakan diri, jadi elok mereka segera kembali kepada MN.
“Parti yang memandang kedudukan, pangkat dan imbuhan tidak akan menang di hati rakyat, dan PRN Melaka telah menjadi bukti rakyat menolak Perikatan Nasional (PN),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri tanpa perlu bekerjasama dengan blok parti lain selepas memperoleh 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Menurut Mohd. Yussof, sekiranya Pas benar-benar mahu bersama MN ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), parti itu perlu bergerak bersama UMNO untuk menubuhkan Majlis MN di peringkat negeri.
“Kerjasama MN di antara Pas dan UMNO perlu diterjemah menerusi aktiviti di peringkat bahagian, cawangan dan di peringkat negeri.
“Kalau Pas mahu terus bersama gabungan MN mereka perlu komited untuk menjayakan agenda ummah bersama-sama UMNO dan mesti meninggalkan Bersatu.
“MN ialah satu wadah perjuangan ummah antara UMNO serta Pas, jadi hanya kapal ini yang perlu berlayar bersama ketika PRU-15 nanti,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, sekiranya Pas masih berdolak-dalik mengenai kerjasama mereka di dalam MN, UMNO tidak mempunyai masalah untuk bergerak solo ketika PRU-15.
“Keputusan perlu segera dicapai, UMNO mempunyai kekuatannya dari segi organisasi parti yang tersendiri serta akar umbi yang kuat.
“Jika Pas masih tidak mahu konsisten dengan gabungan MN, ada baiknya UMNO bergerak solo sahaja ketika PRU-15 yang mana UMNO dapat memberi fokus kepada kerusi-kerusi yang mempunyai pengundi di atas pagar dengan lebih awal,” katanya. -UTUSAN ONLINE










