PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin merayu seluruh pengundi di negeri Melaka untuk mengundi Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.
Beliau berkata, pihaknya memohon semua pengundi daripada semua bangsa dan agama untuk memberikan sokongan padu kepada semua calon PN yang bertanding dalam pilihan raya itu.
Katanya, ini berikutan calon-calon yang dikemukakan itu adalah daripada mereka yang berkaliber dan berkelayakan yang pastinya membawa negeri itu menuju kecemerlangan dan kegemilangan di masa akan datang.
“Saya yakin dan percaya (mereka) adalah calon bersih yang akan dapat dipilih untuk membentuk sebuah kerajaan negeri Melaka.
“Jadi sekali lagi saya merayu, sokong lah dan undi lah kepada calon-calon PN. Terima kasih,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, PN mempertaruhkan 43 peratus calon berusia 40 tahun ke bawah dengan sebahagian besarnya terdiri daripada golongan profesional, berpendidikan tinggi dan komited demi kepentingan serta kebajikan rakyat.
Gabungan itu bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding di 15 kerusi, Pas meletakkan calon di lapan kerusi dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pula mempertaruhkan calon di lima kerusi. – UTUSAN ONLINE









