Isu tanah dan rumah RM100 juta oleh Najib perlu dibentang di Parlimen - Kit Siang - Utusan Malaysia

Isu tanah dan rumah RM100 juta oleh Najib perlu dibentang di Parlimen – Kit Siang

LIM KIT SIANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menggesa kerajaan supaya membentangkan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mendapatkan tanah dan rumah bernilai RM100  juta dan diundi di Parlimen.

Ini kerana, katanya, permohonan itu melibatkan bekas pemimpin negara yang terlibat dengan kes penyelewengan seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz berdolak-dalik mengenai isu itu dan bukannya memberikan jawapan yang jelas mengenai isu itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Adakah rakyat Malaysia akan memberi ganjaran kepada Perdana Menteri yang telah menyebabkan Malaysia kehilangan puluhan dan ratusan bilion ringgit daripada 1MDB dan skandal lain dengan rumah bernilai RM100 juta?

“Ini adalah perkara yang paling menjijikkan bagi rakyat Malaysia yang berbudi bahasa walaupun ia akan menjadi kemenangan kepada mereka yang benar-benar kehilangan maruah dan nilai-nilai etika yang paling asas,” katanya menerusi catatan blognya.

Katanya, perkara itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak dan perlu mesti ditangani segera.

“Bilakah permohonan RM100 juta Najib akan dibentangkan di Parlimen untuk sesi undian?” soalnya.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan bahawa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, memohon ganjaran hadiah berupa sebidang tanah dan rumah daripada kerajaan bernilai RM100 juta.

Tengku Zafrul berkata, permohonan itu dibuat oleh Najib selepas Bajet 2022 dibentangkan, menyebabkan perincian berkaitan ganjaran terbabit tidak dapat disenaraikan dalam pembentangan, namun perbincangan mengenainya sudah diadakan pada Mesyuarat Jemaah Menteri dan menunggu keputusan dimuktamadkan.

Isu itu ditimbulkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mempersoalkan peruntukan bernilai RM100 juta yang akan dihadiahkan dalam bentuk aset kepada Najib.

Dr Mahathir berkata, perincian bajet perlu dikemukakan kepada Dewan Rakyat untuk dibahaskan, sebelum ia diluluskan dan menyifatkan Tengku Zafrul sepatutnya menjelaskan semua perkara dalam bajet, termasuk berkenaan perbelanjaan dikhususkan kepada Najib. -UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×