PETALING JAYA : Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa sikap hipokrit Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas terserlah selepas merendah-rendahkan kemampuan BN.
Ahmad Zahid berkata, paling dikesalkan kenyataan tersebut dilontarkan oleh pemimpin yang sebelum ini menempa nama dalam dunia politik menggunakan sokongan dari ahli akar umbi BN.
Katanya, ini sekali gus menyerlahkan sikap dan niat sebenar Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu ) terhadap kerjasama yang terjalin dengan UMNO sebelum ini.
“Penyokong BN yang setia lebih mengenali perjuangan BN tiada penghujung noktahnya.Rakyat juga telah melihat BN tidak pernah berundur daripada menjaga kepentingan mereka walau pernah dirobek angkara fitnah dan tipu daya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lepas.
“Pelbagai tohmahan, fitnah, cercaan, kejian, hinaan dan cacian dilemparkan pelbagai hala kepada BN. Tidak pernah mengurangkan keyakinan dan kesetiaan tidak berbelah bahagi seluruh penyokong BN di seluruh negara.Yakinilah sejarah BN tidak akan terhenti dan sentiasa terus membara selagi ada daya dan upaya, ilham dan kudrat anugerah Ilahi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, penghinaan Muhyiddin itu akan menguatkan semangat seluruh jentera, ahli dan penyokong BN untuk memenangi PRN Melaka kali ini.
“Seluruh jentera, ahli dan penyokong BN berpadu dengan semangat membara untuk membuktikan kepadai PN bahawa sejarah BN belum berakhir.
“Dan ternyatalah keputusan akar umbi UMNO pada Perhimpunan UMNO 2020 untuk tidak bekerjasama dengan PPBM merupakan satu langkah yang tepat,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE











