KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tetap bersama gabungan Perikatan Nasional (PN) dan tidak berfikir untuk bergerak solo selepas gagal memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, tidak timbul isu parti itu akan meninggalkan PN, mengulangi sejarah Gerakan keluar daripada Barisan Nasional (BN) selepas tewas di semua kerusi Parlimen dan DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Katanya, daripada kekalahan pada PRN Melaka, Gerakan akan menjadikannya sebagai pengajaran untuk terus memperkuatkan struktur dan jentera parti menuju ke PRU-15 yang dijangka tahun hadapan.
“Memang kami tidak berputus asa, kekalahan ini juga adalah satu pengalaman untuk menguatkan lagi cara berkempen, bagaimana mahu menyampaikan mesej dengan lebih berkesan kepada pengundi dalam kebiasaan baharu.
“Secara keseluruhannya, ideologi dan manifesto PN-Gerakan memang baik, tetapi mungkin kami tidak dapat menyampaikan mesej secara efektif kepada pengundi kerana banyak kempen fizikal yang tidak boleh dibuat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Gerakan bertanding lima kerusi DUN namun tewas di lima kawasan iaitu Bandar Hilir dengan mendapat 634 undi, Ayer Keroh (2,479), Kesidang (3,124) dan Kota Laksamana (1,190) yang dimenangi DAP manakala Asahan pula dimenangi BN-UMNO dengan mendapat 1,364 undian.
PRN Melaka menyaksikan calon MCA iaitu Datuk Lim Ban Hong dan Ngwe Hee Sem menang di kerusi campuran iaitu Kelebang (5,028 undi) dan Machap Jaya (3,732).
MIC melalui calonnya, VP. Shanmugan juga mencipta kejutan apabila menang di kerusi Gadek, mengetepikan calon DAP, PN, Putra dan Bebas.
Mengulas lanjut, Hoe Chai mengakui, menyorot sejarah terdahulu, kaum Cina semenangnya masih menyokong DAP yang menyukarkan parti itu mendapat undi lebih banyak sekali gus memihak kepada Gerakan.
“Dari segi undi kepada PN ini nampaknya baik, cuma, yang saya nampak juga ramai pengundi Cina tidak boleh bezakan antara PN dan BN kerana warna yang hampir sama. Mungkin mereka suka (undi) Gerakan, tetapi mereka mungkin ingat kami masih dalam BN lagi,” katanya. -UTUSAN ONLINE











