BN formula politik paling ideal untuk Melaka - Khaled Nordin - Utusan Malaysia

BN formula politik paling ideal untuk Melaka – Khaled Nordin

MOHAMED Khaled Nordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tampil memberi sebab mengapa Barisan Nasional (BN) merupakan gabungan parti paling ideal untuk mengemudi kerajaan negeri Melaka, menjelang hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok.

Beliau menyeru pengundi Melaka supaya menggunakan peluang mengundi untuk menghantar isyarat yang tegas dan jelas bahawa kestabilan politik mesti dikembalikan di negeri itu.

“Kerajaan silih berganti kerana tidak wujud sebuah parti yang dominan dan menjadi teras.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bayangkan, kerajaan terbentuk hasil gabungan parti-parti kecil yang memutuskan untuk bekerjasama sambil mengumpan Ahli-ahli Parlimen yang tergamak melompat untuk menyertai mereka. Sudah pastilah, rakyat menjadi mual dengan politik. Ahli politik sudah tidak dipercayai sama sekali. Semua ini perlu dihentikan sekarang,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.

Justeru, beliau berkata, kestabilan kerajaan adalah pemangkin kemakmuran Melaka.

“Selama lebih enam dekad, BN satu-satunya parti yang boleh dan telah mengurus Melaka dengan jayanya, menjadikannya antara negeri paling membangun di Malaysia.

“Benar BN tidak sempurna dan tidak akan mungkin menjadi sempurna. Tetapi dalam segala kebaikan dan kelemahan BN, ia adalah formula politik paling ideal untuk Malaysia dan Melaka,” katanya.

Melalui BN, katanya, kuasa dikongsi secara bersama selama puluhan tahun dan kepentingan kaum diuruskan secara muafakat dan tiada masalah yang BN tidak selesaikan secara kolektif dan harmoni.

“Bagi memastikan tawaran kestabilan ini boleh dicapai, BN menampilkan kira-kira 87 peratus calon baharu. Mereka adalah taruhan BN untuk kerajaan yang berwajah dinamik, segar dan progresif.

“Mereka adalah generasi penerus yang berwibawa, bersih, berilmu dan berpendirian. Bukan golongan yang memperdagangkan politik dan kedudukan untuk kuasa,” katanya.

Malah, beliau menganggap calon-calon baharu itu merupakan jawapan BN untuk membasmi pengkhianatan dan budaya politik lompat melompat.

“Mereka juga adalah generasi yang akan menguruskan masa depan Melaka dengan kerajaan yang terangkum, kompeten dan amanah.

“Insya-Allah, setelah terpilih, BN akan mengembalikan era terbaik Melaka seperti suatu waktu dulu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×