13 calon Bebas tidak sertai parti jika menang PRN - Utusan Malaysia

13 calon Bebas tidak sertai parti jika menang PRN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak 13 calon Bebas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berjanji tidak sesekali menyertai parti politik sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat.

Mereka menyatakan pendirian berkenaan menerusi satu akuan bersumpah (SD) yang dimeterai hari ini.

Menurut jurucakap kumpulan itu, Muhammad Omar, mereka berjanji tidak menubuhkan parti, mewujudkan Enakmen Pengosongan Kerusi DUN atau undang-undang Anti Lompat Parti serta rakyat diberi hak untuk ambil tindakan terhadap wakil rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya lagi, ramai menyangka calon-calon bebas yang bertanding hanya main-main, tetapi, hakikatnya mereka berhasrat mahu mengembalikan kestabilan di Melaka.

“Melalui akuan ini, calon-calon Bebas membuktikan bahawa mereka serius untuk membina sebuah kerajaan negeri yang mempunyai kestabilan politik tertinggi, seterusnya mengutamakan kepentingan seluruh rakyat Melaka.

“Akuan Bersumpah ini secara tidak langsung memberi ruang, peluang dan kuasa kepada rakyat untuk mengambil tindakan perundangan kepada wakil rakyat yang telah mereka pilih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, calon-calon Bebas telah berkumpul di hadapan Menara Persekutuan sebagai simbolik kepada satu iltizam untuk menjayakan perubahan politik baharu di Melaka.

Katanya lagi, melalui SD itu, rakyat akan menyedari bahawa mereka tidak lagi akan menjadi penonton kepada sketsa lakonan badut-badut politik yang hanya mempermainkan persepsi rakyat untuk mengekalkan kuasa mereka.

“Kegemilangan ini tidak akan tercapai selagi mana rakyat tidak meletakkan noktah akhir kepada permainan politik yang memperjudikan nasib rakyat Melaka.

“Cukuplah menagih janji-janji yang ditabur setiap kali pilihan raya. Cukuplah tertawan dengan manifesto-manifesto indah yang hanya menjadi barah dalam masyarakat,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×