PN yakin rampas Perlis dalam PRU-15 - Utusan Malaysia

PN yakin rampas Perlis dalam PRU-15

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perikatan Nasional (PN) sedia melawan UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di negeri ini sekiranya parti itu terus berkeras enggan menjalinkan kerjasama.

Dalam masa sama, Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Abu Bakar Hamzah yakin gabungan Bersatu dan Pas mampu menang sekurang-kurangnya 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus membentuk kerajaan baharu di Perlis.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN negeri berkata, Bersatu dan Pas sebenarnya masih berharap penyatuan bersama UMNO, namun, jika parti tersebut masih menolak, maka, mereka tidak ada pilihan, terpaksa bertembung dalam PRU-15 di negeri ini.

Jelasnya, Bersatu menyasarkan bertanding di tujuh kerusi DUN serta dua Parlimen masing-masing di Kangar dan Padang Besar yang mempunyai potensi dimenangi parti itu.

“Antara kerusi DUN yang kita sasar untuk bertanding adalah di Kuala Perlis, Sena, Indera Kayangan, Bintong, Titi Tinggi, Chuping dan Simpang Empat. Manakala Pas di kawasan yang dimenangi mereka pada PRU-14 dan beberapa kawasan lain di negeri ini.

“Meskipun kita masih berharap penyatuan (Bersatu, Pas, UMNO) yang mampu menyapu bersih semua 15 kerusi DUN dan tiga Parlimen di negeri ini, namun, jika UMNO menolak, kita sudah tidak ada pilihan lain,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam PRU-14, Barisan Nasional (BN) menang 10 daripada 15 kerusi DUN di Perlis, manakala Bersatu yang bersama Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya tersebut tewas semua tujuh kerusi yang ditandingi mereka.

Pas pula menang dua kerusi DUN iaitu di Guar Sanji dan Sanglang, manakala PKR menang di Kuala Perlis, Sena dan Indera Kayangan.

Tambah Abu Bakar, Bersatu sudah bersedia memasuki gelanggang PRU-15 dengan kekuatan jentera termasuk 88 pusat daerah mengundi (PDM) di negeri ini.

Katanya, manakala ahli Bersatu pula terus menunjukkan peningkatan dengan kini sudah melebihi 10,000.

“Kita tidak ketandusan calon dan akan  mengetengahkan calon tempatan termasuk 20 hingga 30 peratus calon muda. Gandingan pemimpin berpengalaman dan muda mampu menguatkan Bersatu dalam menghadapi pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Abu Bakar menepis dakwaan kononnya Bersatu tidak mempunyai kekuatan akar umbi dalam menghadapi pilihan raya.

“Di Kangar sahaja kita sudah mempunyai 53 cawangan, Arau sebanyak 26 cawangan dan Padang Besar pula 21 cawangan. Ahli kita termasuk anak muda juga bertambah ramai. Tidak benar kita tidak mempunyai kekuatan akar umbi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN