TELUK INTAN: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, Putra akan bertanding secara sendirian tanpa kerjasama dengan mana-mana parti dalam PRN itu.
Menurutnya, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Putra peringkat Pusat baru-baru ini.
“Putra telah memutuskan untuk bertanding dalam PRN Melaka secara solo.
“Calon-calon yang akan diketengahkan nanti juga telah disenarai pendek dan beberapa kerusi telah dikenal pasti untuk kami ditandingi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas menghadiri mesyuarat Putra Bahagian Teluk Intan di sini semalam.
Turut hadir kepemimpinan Putra Perak iaitu Timbalan Pengerusi, Hasbullah Elias; Setiausaha, Azrul Shuhadi Ahmad Mokhtar dan Ketua Penerangan, Suffian Pandak Ahmad.
Menurut Hamidah, keputusan Putra untuk meletakkan calon dalam PRN Melaka demi menyelamatkan negeri itu daripada para pemimpin politik yang rakus.
Beliau berkata, Putra akan menentang segala salah laku pemimpin yang pecah amanah dan rasuah.
“Putra akan bertanding atas prinsip perjuangan yang tersendiri bukan atas mana-mana pakatan parti politik yang semata-mata hanya mahukan berkuasa,” katanya. -UTUSAN











