KUALA LUMPUR: Sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya negeri (PRN) Melaka tetap tidak dibenarkan.
Mempertahankan keputusan tersebut, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Noor Azmi Ghazali berkata, langkah itu diambil kerana tidak mahu perkara yang sama berulang selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dimana kes Covid-19 meningkat secara mendadak.
“Kita tak mahu, jangan sampai pisang berbuah dua kali sebab itu kita memperkenalkan pendekatan mengetatkan SOP.
“Berdasarkan pengalaman PRN Sabah kerajaan berusaha memastikan kejadian sama tidak berulang semula semasa PRN Melaka,” katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab membahaskan usul bagi mengungkai tujuh Ordinan Darurat di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah beliau lagi, larangan itu juga adalah mengambil kira kes di Melaka yang masih tinggi.
“Kes di Melaka pada 24 Okt 2021 seramai 262 kes, dimana 2,691 kes aktif manakala hampir 6,000 kontak rapat yang sedang dalam pengawasan,” katanya sambil memaklumkan larangan itu juga dibuat dengan mengambil kira sukar orang ramai mematuhi SOP kempen pilihanraya.
Sementara itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu meminta Azmi memberi jaminan agar pihak kerajaan tidak mengambil kesempatan menggunakan majlis rasmi untuk berkempen secara senyap.
Azmi kemudiannya menegaskan larangan tersebut adalah bagi memastikan semua rakyat selamat, bukannya mempunyai niat lain. -UTUSAN ONLINE











