Erwan sudah letak jawatan Ketua Bahagian Bersatu sejak 10 Oktober 2020 - Utusan Malaysia

Erwan sudah letak jawatan Ketua Bahagian Bersatu sejak 10 Oktober 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr. Erwan Mohd Tahir disahkan bukan lagi merupakan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Putrajaya semasa beliau menyertai semula UMNO hari ini.

 

Menurut Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Putrajaya, Fathul Azam Hashim, Erwan meletakkan jawatan itu pada 10 Oktober 2020 disaksikan Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian dan ketua-ketua cawangan yang hadir setelah beliau tewas dalam pemilihan jawatan Naib Presiden ditandinginya pada tahun lalu.

 

“Ingin dimaklumkan juga, Bersatu Putrajaya tidak terkesan dengan peletakan jawatan beliau, malah, semakin mendapat sambutan keahlian dari warga Putrajaya. 

 

“Bersatu Putrajaya juga berjaya menubuhkan sembilan cawangan baharu dengan keahlian baharu sebanyak 1,030 ahli dan giat menyantuni penduduk Putrajaya dengan pelbagai program dan bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, dalam laporan Utusan Online, Erwan dikatakan mengumumkan keluar daripada Bersatu berkuat kuasa serta-merta dan kembali menyertai UMNO.

 

 

Turut bersama untuk menyertai UMNO adalah kepimpinan tertinggi Bahagian Bersatu Putrajaya termasuk naib ketua bahagian, setiausaha bahagian, AJK bahagian, kepimpinan Srikandi dan Armada serta lebih 120 ahli Bersatu Putrajaya.

 

Laporan portal parti itu menyebut, Erwan berkata, keputusan itu dibuat kerana beliau yakin dan percaya bahawa hanya UMNO sahaja yang dapat memartabat dan mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, Perlembagaan Malaysia dan Raja-Raja Melayu seperti mana dinyatakan di dalam asas dan tujuan penubuhan UMNO. 

 

 “Ini adalah masa yang tepat untuk kembali ke pangkuan UMNO setelah melihat parti ini berjaya menamatkan beberapa polemik politik yang telah menggugat kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi sewaktu pandemik Covid-19 yang membadai negara.

 

“Saya menyatakan sokongan penuh kepada Naib Presiden UMNO yang juga merupakan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

 

 “Berharap Perdana Menteri dapat menggalas tanggungjawab itu sebaik mungkin untuk kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya selepas sesi penyerahan borang tersebut kepada Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, di ibu pejabat UMNO Kuala Lumpur. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN