Mustahil pemilihan sekadar untuk Kamil atau Ramanan

Mustahil pemilihan sekadar untuk Kamil atau Ramanan

MUHAMMAD Kamil Abdul Munim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dakwaan pemilihan PKR diadakan semata-mata untuk memberi laluan kepada individu tertentu seperti Muhammad Kamil Abdul Munim atau Datuk Seri R. Ramanan dilantik Naib Presiden, adalah tidak ber­asas dan tidak adil.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) negeri, Noor Amin Ahmad berkata, mustahil pemilihan dibuat hanya untuk memenuhi kehendak segelintir individu, kerana ia melibatkan puluhan pimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dipilih pada 2022.

Katanya, pihak yang membuat dakwaan itu perlu menggunakan akal jernih untuk berfikir secara adil berhubung soal itu dan tidak timbul soal pemilihan perlu dibuat untuk memberi laluan kepada mana-mana pimpinan naik atau layak bertanding berdasarkan usia.

Ujarnya, pemilihan parti adalah proses biasa yang perlu dijalani dengan semangat kekeluargaan dan sepanjang pe­ngalaman di dalam pemilihan selalunya yang menang dapat jawatan dan kalah, tetap ada peranan.

“Dalam pengalaman kecil saya semasa pemilihan 2022, YB Gan (Gan Ay Ling) yang menentang saya pada tahun tersebut telah saya lantik menjadi Naib Ketua Cabang (Kangar). Mungkin saya silap, tetapi rasanya tidak ada mana-mana ketua cabang melantik pihak kalah yang melawannya.

“Saya hanya sekadar belajar menterjemahkan ‘cara Anwar’ (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menunjukkan bagaimana semua pihak ada tempat dalam parti jika mahu menyumbang.

“Dan kita tidak perlu merajuk atau marah jika ruang yang ada terasa kecil. Di banyak ke­sempatan saya akan memberi­tahu rakan-rakan bahawa kita tidak boleh menongkat langit, kita akan pergi juga mahu atau tidak,” katanya di sini semalam.

Sebelum ini, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi mendakwa, pemilihan kali ini bertujuan memberi peluang terakhir kepada Muhammad Kamil, me­ngetuai Angkatan Muda Keadilan (AMK) bagi sesi 2025-2028 dan ia merupakan peluang ter­akhir berikutan usianya sudah pun mencecah 35 tahun.

Mengulas lanjut, Noor Amin berkata, pemilihan ini juga didorong oleh keperluan untuk memperbaharui komitmen ke­pimpinan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), susulan pergerakan parti yang dilihat perlahan di pelbagai peringkat termasuk berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Jika kita nilai akar umbi lemah, maka pemilihan menyeluruh wajar diadakan bagi memperkukuh gerak kerja parti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN