UMNO tidak gentar Anwar bertanding di Perak - Utusan Malaysia

UMNO tidak gentar Anwar bertanding di Perak

SAARANI Mohamad (tengah) melawat rumah seorang penduduk, Rahiah Zakaria (kanan) yang rosak akibat dihempap pokok kelapa dalam kejadian ribut di Kampung Pasir Panjang, Sitiawan pada Rabu lalu. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perak tidak gentar jika Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertanding di negeri ini dalam  Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

 

Pengerusi UMNO dan BN Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang membenarkan rakyatnya untuk bertanding di mana-mana kawasan Parlimen yang diminati.

 

Saarani yang juga Menteri Besar berkata, begitu juga di Perak iaitu mana-mana pihak tidak boleh menghalang sesiapa untuk bertanding di kawasan Parlimen di negeri ini.

 

“Baguslah beritahu awal (mahu bertanding di Perak), jadi, kami boleh buat persiapan awal. 

BN dan UMNO merasa gentar dengan perkara ini. 

 

“Politik ini adalah ‘art’ (seni yang memungkinkan apa sahaja boleh berlaku). Politik ini sangat dinamik, tetapi itulah dia beritahu awal, kita pun bersiap awallah,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat kawasan terjejas ribut di daerah Manjung, di sini hari ini.

 

Sementara itu, Ahli Parlimen Lumut yang juga Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr. Mohd. Hatta Ramli yang hadir pada sidang akhbar itu turut berseloroh mengenai tindakan PKR Perak yang mempelawa Anwar bertanding di Perak.

 

“Kenapa pecahkan rahsia lebih awal,” kata Mohd. Hatta.

 

Akhbar hari ini melaporkan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak membuat tawaran itu dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan PKR negeri baru-baru ini, sebagai langkah untuk mengukuhkan parti itu menawan negeri ini.

 

Farhash berkata, kehadiran nama besar seperti Anwar di negeri ini memudahkan PKR untuk menawan Perak dan`bekas Timbalan Perdana Menteri itu dikatakan sangat responsif dan positif dengan pelawaan itu.

 

Sementara itu, Saarani menyifatkan cadangan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin agar MPN ditubuhkan di peringkat negeri dan daerah adalah bagus tetapi tidak pasti bagaimana pelaksanaannya nanti.

 

Menurutnya, ini kerana di daerah, ada Jawatankuasa Tindakan Daerah yang dipengerusikan Pegawai Daerah yang membincangkan semua perkara khususnya cadangan pembangunan dan semua permasalahan di peringkat daerah.

 

“Di Perak, malah, kita membenarkan wakil rakyat pembangkang berada sama dalam jawatan kuasa itu, jadi, kepada saya, jika dibuat (jawatan kuasa) lain pula, maka orang yang sama, ketua jabatan yang sama akan datang (dalam mesyuarat), jadi mekanisme sudah ada.

 

“Kita ada Jawatankuasa Tindakan Negeri manakala majlis daerah juga ada ahli majlis dalam mesyuaratnya membincangkan tajuk yang sama, bagaimana mahu membangunkan negeri dan daerah, itu yang dibincangkan.

 

“Cadangan itu (MPN negeri dan daerah) bagi saya tidak salah, cuma kenapa mahu tubuh mekanisme baharu, sedangkan sudah ada mekanisme itu, kita perkasakanlah mekanisme (yang sedia ada) itu,”`ujarnya.

 

Semalam, akhbar ini melaporkan cadangan Muhyiddin mengenai penubuhan MPN di peringkat negeri dan daerah supaya Pelan Pemulihan Negara (PPN) di peringkat akar umbi dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan pantas.

 

Beliau mencadangkan jawatan kuasa di peringkat negeri dipimpin Menteri Besar atau Ketua Menteri setiap negeri dibantu Jawatankuasa Tindakan Daerah. – UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN