26 tahun sumbang suara kepada orang buta

26 tahun sumbang suara kepada orang buta

Azham Azman, Yeoh Yu Ho dan Iman Sufia Muhammad Shahril merupakan antara sukarelawan membaca MAB. -UTUSAN/ IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap Selasa, wanita Tionghoa ini bersiap dengan penuh bersemangat, mengenakan pakaian kemas, seolah-olah bersedia untuk tugasan penting.

Namun, bukan mesyuarat atau temu janji bersama pelanggan yang menantinya.

Sebaliknya, ejen insurans ini menuju ke Perpustakaan H.T. Ong di Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), Brickfields, Kuala Lumpur.

Di studio rakaman kecil dan sunyi di situ, suara Yeoh Yu Ho, 61, menjadi pelita bagi mereka yang hidup dalam ‘kegelapan’.

Selama 26 tahun, dia setia meminjamkan suaranya, membaca novel untuk golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Rutin mulia sebagai sukarelawan ini dijalani dengan penuh keikhlasan, tanpa pernah culas atau jemu.

“Sebelum berkahwin, saya tinggal di Brickfields dan setiap hari saya melihat ramai OKU penglihatan berjalan di sekitar kawasan ini.

“Sejak itu timbul keinginan untuk membantu mereka, tetapi ia terhalang dengan kesibukan kerja,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Segalanya berubah pada 1999, apabila ahli keluarganya hilang penglihatan secara tiba-tiba.

Demi mencari jam khas untuk kegunaan bapanya, dia berkunjung ke MAB sambil meluahkan hasrat yang terpendam selama ini.

Kakitangan bertugas kemudian memaklumkan yang pertubuhan itu kekurangan sukarelawan membaca.

“Tanpa berfikir panjang saya terus menawarkan diri, walaupun ketika itu anak bongsu masih lagi bayi.

“Saya mungkin tidak mampu menjaga seorang ayah sepenuh masa kerana dia menetap di Ipoh.

“Tetapi, melalui sumbangan suara dalam buku audio ini saya dapat membantu lebih ramai insan senasib dengannya,” katanya yang kehilangan bapa 12 tahun lalu.

Kini, Yu Ho merupakan antara sukarelawan membaca paling lama dan aktif dalam MAB.

Selagi kudrat mengizinkan, dia berazam untuk terus ‘bercerita’ kepada golongan yang mendengar dalam ‘gelap’ itu.

“Aktiviti ini sudah sebati dalam diri saya dan menjadi detik yang sentiasa ditunggu setiap minggu seolah-olah hidup tidak lengkap tanpa melakukannya.

“Malah ia langsung tidak menjejaskan jadual kerjaya saya kerana mesyuarat atau temu janji dengan pelanggan sentiasa diatur di sebelah tengah hari selepas tugasan membaca selama sejam itu selesai,” katanya.

Baca dengan jiwa

Bagi Yu Ho, membaca bukan sekadar menyebut bait demi bait tetapi menghidupkan cerita dengan jiwa.

Ketika membacakan babak pilu, suaranya kadangkala teresak-esak menahan sebak atau bahkan sehingga menitiskan air mata.

Kemudian, apabila tiba babak ceria, intonasinya serta-merta berubah riang dan bertenaga, menjadikan setiap kisah yang disampaikan benar-benar menyentuh hati pendengar.

“Saya bayangkan diri saya sebagai watak dalam buku itu supaya pendengar dapat menghayati dan membayangkan keseluruhan kisah.

“Untuk buku nipis, biasanya saya boleh selesaikan hingga bab sembilan dalam masa sejam yang diperuntukkan setiap minggu,” katanya.

Hampir tiga dekad bergelar sukarelawan membaca, Yu Ho mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya merakam hampir 100 naskhah buku audio berbahasa Inggeris.

Di peringkat awal pembabitannya, dia lebih cenderung kepada genre buku cerita sebelum beralih kepada novel yang lebih mencabar dan beremosi.

“Semasa kanak-kanak, saya sangat aktif di sekolah dan tidak berkesempatan membaca buku cerita seperti rakan-rakan lain.

“Apabila menjadi sukarelawan, barulah saya berpeluang membaca semula buku-buku cerita dan novel yang selama ini terlepas daripada pengalaman hidup saya.

“Rutin ini bukan sahaja memberi manfaat buat golongan OKU penglihatan, malah turut memberi nilai tambah kepada diri saya sendiri,” katanya yang sangat mengagumi semangat dan kecekalan mereka.

Baginya, insan-insan istimewa itu mungkin tidak dapat melihat dengan mata tetapi mampu melihat dengan hati.

Tarik golongan muda

Aktiviti sukarelawan membaca di MAB semakin mendapat sambutan hangat dalam kalangan golongan muda.

Antaranya, Azham Azman, 22, dan Iman Sufia Muhammad Shahril, 25.

Kedua-duanya baharu dua bulan berjinak-jinak dalam aktiviti itu selepas dimaklumkan kenalan masing-masing.

Bagi Azham, keinginan untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti bermakna serta membantu golongan yang memerlukan menjadi pendorong utamanya.

“Proses membaca dan merakam bahan bacaan sebenarnya tidak sukar asalkan lancar dan jelas mengikut panduan yang diberikan.

“Dahulu, guru agama saya juga tidak dapat melihat dan kini dia menjadi imam di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad.

“Kenangan bersama ustaz banyak membuka mata saya tentang keupayaan golongan ini. Jadi, saya teruja dapat menyumbangkan suara untuk mereka,” katanya.

Iman Sufia pula melihat aktiviti ini sebagai peluang terbaik untuk memperluas penglibatan dalam dunia sukarelawan selain menerusi gerakan Small Changes.

“Lagipun saya memang gemar bercerita, malah, semasa kanak-kanak dahulu, saya aktif memasuki pertandingan bercerita hingga ke peringkat kebangsaan.

“Aktiviti ini bagaikan menghidupkan semula minat lama saya, cuma kali ini dengan kelompok sasaran yang lebih istimewa,” ujar bakal peguam ini.

Kurang pembaca novel, naskhah ilmiah

Aktiviti membaca bagi tujuan rakaman buku audio di Perpustakaan H.T. Ong bermula kira-kira 30 tahun lalu.

Sehingga kini, terdapat seramai 20 sukarelawan yang aktif menyumbang masa dan tenaga dalam usaha murni ini.

Juruteknik audio MAB, Abian Jambot berkata, proses menyiapkan sebuah buku audio mengambil masa panjang bergantung kepada ketebalan buku, komitmen sukarelawan, kelancaran pembacaan serta kerja-kerja suntingan.

Ketika ini, mereka masih kekurangan koleksi buku audio bergenre novel dan naskhah ilmiah kerana tidak ramai sukarelawan yang mampu memberikan komitmen penuh untuk membaca karya panjang.

“Ada yang hanya membaca separuh jalan, kemudian tidak lagi muncul. Inilah antara cabaran utama yang kami hadapi, sehingga menyebabkan banyak rakaman tergendala atau terpaksa ditangguhkan.

“Sedangkan, permintaan terhadap novel dan bahan ilmiah sangat tinggi, malah kebanyakan koleksi kita sudah terlalu lama dan tiada rakaman baharu,” katanya yang buta sejak lahir.

Disebabkan itu, sukarelawan baharu diberikan buku cerita yang nipis sebagai latihan permulaan.

Ia bertujuan membiasakan diri dengan proses rakaman serta membina keyakinan sebelum diberi bahan bacaan yang lebih panjang dan mencabar.

Tambah Abian, sukarelawan tidak semestinya perlu memiliki suara lunak kerana syarat utama hanyalah sebutan jelas dan lancar.

“Gaya pembacaan pula terpulang kepada kreativiti masing-masing.

“Sehubungan itu, saya menyeru lebih ramai rakyat Malaysia dapat tampil ‘meminjamkan’ suara mereka bagi penghasilan buku audio untuk golongan OKU penglihatan,” katanya.

Pada yang berminat untuk menjadi sukarelawan membaca boleh menghubungi petugas perpustakaan MAB di talian 03-227222677.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN