KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah tidak akan membiarkan kemelut kontrak bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengganggu tumpuan mereka dalam Kejohanan Badminton Malaysia Masters yang bermula hari ini.
Thinaah berkata, pada masa ini dia lebih selesa untuk tidak mengulas lanjut mengenai isu tersebut kerana fokus mereka hanya kepada kejohanan berstatus Super 500 itu.
“Kami cuma mahu fokus kepada pertandingan minggu ini kerana apa yang lebih penting ialah memberikan yang terbaik kepada Malaysia Masters,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi ujian gelanggang di Axiata Arena, Bukit Jalil dekat sini, semalam.
Kontrak beregu No. 4 dunia itu bersama BAM telahpun berakhir Disember, tahun lepas dan sehingga kini rundingan antara kedua-dua pihak masih lagi belum berjaya dimeteraikan.
Badan induk sukan badminton negara itu turut mengesahkan, baru-baru ini, bahawa keputusan hanya akan dibuat sebaik Pearly-Thinaah pulang daripada Terbuka Thailand.
Sementara itu, mengenai persediaan beregu itu untuk Malaysia Masters selepas menjuarai Terbuka Thailand, hujung minggu lalu, Thinaah berkata, dia serta Pearly baru sahaja sampai di tanah air tengah malam semalam dari Bangkok dan mengakui berasa sedikit letih kerana kurang tidur.
“Daripada segi fizikal, kami agak keletihan kerana terpaksa mengharungi perjalanan jauh sebelum Malaysia Masters, tetapi kami amat berharap prestasi yang baik dapat dipamerkan di sini,” katanya.
Pearly pula melahirkan rasa terujanya dapat kembali beraksi di laman sendiri lebih-lebih lagi selepas menjuarai Terbuka Thailand.
“Kami akan mengorak langkah demi langkah dan berikan yang terbaik. Kemenangan pada Terbuka Thailand memberi suntikan motivasi tambahan untuk kami mengekalkan momentum,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh ketika ditemui pemberita di Axiata Arena mengesahkan bahawa pihaknya cuba mencari masa yang tepat untuk bertemu dengan Pearly-Thinaah.
“Kami akan cuba cari masa yang terbaik, paling cepat dan sesuai, tunggu dan lihat,” katanya. – UTUSAN











