UMNO perlu bertanding atas kekuatan sendiri -Mohamad Hasan - Utusan Malaysia

UMNO perlu bertanding atas kekuatan sendiri -Mohamad Hasan

MOHAMAD Hasan ketika ditemui pemberita selepas beliau menghadiri hari terakhir Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Wisma Negeri, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: UMNO perlu bertanding atas kekuatannya sendiri bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekali gus membentuk kerajaan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu tidak boleh dalam keadaan menang tetapi terpaksa pula bersandarkan kepada kekuatan parti lain.

Ini kerana, jelas beliau, keadaan itu akan mewujudkan situasi politik seperti hari ini di mana tiada politik yang dominan untuk membentuk kerajaan.

“Kita mahu menang atas batang tubuh kita sendiri, bukan nak menang bersandarkan kekuatan orang lain, itu penting. Kalau kita menang, kita boleh bentuk kerajaan, bukan menang, tetapi, terpaksa minta belas kasihan orang, itu tidak betul.

“Itu punca jadi seperti hari ini dan rakyat mesti faham, kalau memilih dalam pilihan raya nanti, kalau pilih dalam keadaan begini, tidak ada parti yang dominan, negara akan terus huru hara,” katanya.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas beliau menghadiri hari terakhir Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 hari ini.

Sementara itu, Mohamad sekali lagi menjelaskan, tiada perbincangan langsung diadakan di antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berhubung pembahagian kerusi pada PRU-15 kelak.

“Kita tiada langsung berbincang dengan Bersatu, sebab UMNO telah memutuskan lebih awal lagi dan telah dipersetujui dalam Perhimpunan Agung UMNO bahawa kita tidak akan bekerjasama dengan Bersatu semasa pilihan raya nanti, itu noktahnya.

“Tidak ada apa-apa bentuk perbincangan mahupun persefahaman tentang menghadapi pilihan raya umum ini dengan Bersatu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau juga berharap Pas dapat membuat keputusan sama ada mahu bersama Muafakat Nasional (MN) ataupun Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU-15 termasuk di peringkat DUN.

“Mereka (Pas) telahpun menjadi anggota PN, Persoalannya sekarang adalah jika ada pertembungan Barisan Nasional (BN) dengan PN, Pas mahu sokong siapa kerana Pas adalah sebahagian daripada PN dan mereka juga jentera pilihan raya PN.

“Itu terpulang kepada Pas untuk memutuskan sama ada mahu dengan MN ataupun PN, tetapi, janganlah buat keputusan lambat sangat, (jangan) selepas Parlimen dibubarkan baru nak buat keputusan, kalau anda mahu bersama kami, beritahu kami sekarang,” kata Mohamad.

Sementara itu, beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO berkata, pembahagian kerusi yang diperuntukkan bagi menghadapi PRU-15 sudah dipersetujui di peringkat parti di dalam BN.

“Ada beberapa lagi kerusi yang perlu diperhalusi kerana kerusi itu tersebut sudah tiga, empat penggal kalah jadi kenapa tidak kita ubah suai.

“Soal calon, itu nanti terpulang kepada pucuk pimpinan tentang siapa yang akan bertanding dan di mana, itu belum diputuskan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN