JOHOR BAHRU: Pas Johor mengecam tindakan tidak bertanggungjawab Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melanggar perintah kuarantin kendiri dari 1 hingga 10 September lalu berikutan menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2 September lalu.
Timbalan Pesuruhjaya Badan Perhubungan Pas Johor, Roslan Nikmat berkata, perbuatan seperti ini sangat tidak bertanggungjawab bahkan merisikokan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain.
Roslan juga turut mempersoalkan keengganan Guan Eng melakukan kuarantin kendiri kerana merupakan kontak rapat dengan pesakit Covid-19.
“Mana sikap tanggungjawab Guan Eng dalam menghadapi wabak Covid-19 ini? Jika rakyat biasa terpaksa berkurung kerana menjalani tempoh kuarantin kendiri, kenapa dia tak boleh?
“Seharusnya pemimpin juga perlu mengambil berat serta mengikut arahan pihak berkuasa bagi membendung penularan wabak dan bukannya menjadi penyumbang kepada penularan wabak Covid-19 ini.
“Bayangkan kalau tindakan seperti ini dilakukan oleh pimpinan dari parti kerajaan, pasti menjadi sasaran media DAP untuk menyerang habis-habisan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khamis lalu, Guan Eng menafikan beliau melanggar perintah kuarantin kendiri dengan menghadiri sidang DUN pada 2 September lalu.
ADUN Air Putih itu berkata, beliau hanya diberitahu setelah menghadiri sidang DUN yang mana beliau mungkin menjadi kontak rapat kepada seorang pesakit positif Covid-19 pada 1 September.
Sehubungan itu jelasnya, beliau telah tinggal di rumahnya di bawah kuarantin kendiri selepas menghadiri sidang DUN pada 2 September sebelum kemudiannya diuji negatif.
Guan Eng turut menafikan beliau keluar ke tempat awam termasuk untuk mengedarkan bakul makanan selepas 2 September seperti yang didakwa beberapa pihak berdasarkan hantaran di dalam media sosial Facebooknya. -UTUSAN ONLINE