KAHERAH: Mesir menolak cadangan pasukan asing untuk menguruskan Semenanjung Gaza dengan menegaskan rakyat Palestin tidak akan menerima sebarang bentuk pentadbiran atau kawalan keselamatan asing di wilayah tersebut, sambil menyifatkan cadangan terkini Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebagai tidak realistik.
Dalam satu temu bual televisyen, Ketua Perkhidmatan Maklumat Negara Mesir (SIS), Diaa Rashwan menjelaskan pelan yang dicadangkan oleh Trump itu memisahkan antara pentadbiran Gaza dengan pasukan kestabilan antarabangsa, yang dikatakan berperanan mengawasi proses pengunduran tentera Israel serta mengawal kawasan sekitar Gaza dari dalam wilayah tersebut.
Menurutnya, pasukan berkenaan akan dinamakan sebagai pasukan kestabilan dan bukannya pasukan pentadbiran Gaza.
Tambah beliau, cadangan itu turut mengandungi penubuhan sebuah majlis keamanan yang akan memantau jawatankuasa khas bagi mentadbir hal ehwal harian Gaza.
“Mengelirukan dua peranan ini, misi ketenteraan dan pentadbiran Gaza adalah tidak tepat,” katanya sambil menjelaskan terdapat laporan bocor yang menggambarkan pasukan tersebut akan diberi tanggungjawab melucutkan senjata kumpulan bersenjata atau mengawal keselamatan dalaman Gaza.
Rashwan menegaskan butiran seperti itu hanya muncul dalam draf resolusi AS di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk tujuan perbincangan, bukan untuk diluluskan.
Beliau turut menyatakan Israel kini bertindak seolah-olah telah memenangi perang di Gaza dengan menetapkan syarat yang tidak munasabah, namun pentadbiran Trump tidak berniat untuk memenuhi semua tuntutan tersebut.
“Menyerahkan tugas melucutkan senjata Hamas kepada pasukan antarabangsa akan mencetuskan dilema besar dan berpotensi mencetuskan pertembungan bersenjata,” katanya lagi.
Rashwan menambah, tiada negara yang akan bersetuju untuk melaksanakan misi berisiko seperti itu kerana ia boleh membawa kepada pertumpahan darah.
Sebaliknya, beliau menegaskan polis Palestin yang terlatih seharusnya mengurus keselamatan dalaman Gaza, manakala sebuah jawatankuasa bebas perlu ditubuhkan untuk mentadbir urusan harian wilayah berkenaan.
“Rakyat Palestin sama ada daripada Pihak Berkuasa Palestin mahupun kumpulan penentangan – tidak akan menerima pentadbiran keselamatan asing di Gaza, kerana itu bukan bentuk penjagaan, tetapi satu bentuk penjajahan,” tegasnya. -AGENSI










