PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninggalkan Kompleks Bangunan Perdana Putra kira-kira pukul 9.19 pagi tadi untuk lawatan kerja rasmi pertamanya ke Kedah.
Terdahulu, Ismail Sabri tiba di Kompleks Bangunan Perdana Putra, di sini kira-kira pukul 8.23 pagi bagi memulakan tugasnya secara rasmi di Pejabat Perdana Menteri.
Ketibaannya disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman.
Beliau diiringi pegawai-pegawai kanan kerajaan dibawa mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda bermulanya tugas
beliau sebagai Perdana Menteri Kesembilan.
Sejurus selesai mengimbas kad perakam waktu, Ismail Sabri dibawa ke pejabat Perdana Menteri untuk menandatangani buku
selamat datang dan selamat bertugas.
Ismail Sabri Yaakob sempat memberitahu akan ke Kedah selepas meninggalkan bangunan Pejabat Perdana Menteri. – VIDEO/MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
Ismail Sabri meluangkan masa kira-kira satu jam di Pejabat Perdana Menteri, pagi ini.
Sebaik sahaja disapa wartawan di luar bangunan, Ismail Sabri sempat menurunkan cermin kenderaan dan memaklumkan akan ke Kedah selepas disoal wartawan.
“Ya, saya akan ke Kedah,” katanya sambil melambai tangan ke arah pengamal media.
Ismail Sabri berlepas ke Kedah pagi ini bagi meninjau bencana banjir di Merbuk dan Kuala Muda, Kedah yang kini dikategorikan sebagai Kawasan Bencana Tahap Satu.
Difahamkan juga, beliau turut dijadual menziarahi beberapa keluarga dan mangsa yang terjejas dengan bencana banjir itu.
Antara lokasi lain dilawati Ismail Sabri termasuk Jambatan Tupah dan Taman Lembah Merbok.
Difahamkan juga, Ahli Parlimen Bera itu akan meluangkan masa sehari di Kedah sebelum dijangka pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah petang.